Rendang Pedas Untuk Juadah Aidilfitri

Assalamualaikum

Raya baru-baru ini, saya masak dua jenis lauk iaitu rendang pedas dan daging kerutuk. Resipi asal rendang pedas ini adalah dari ibu mertua saya, Puan Sri Hajah Radziah bt Hj. Yaakob.

Saya sajikan lauk ini bersama ketupat pulut, lemang dan nasi himpit. Memang best! 😀

image

image

Bahan-bahan:

1 kilo daging batang pinang/lembut dipotong kiub saiz sederhana
1 kilo paru direbus sehingga masak, bila sudah sejuk, dipotong kiub saiz sederhana
1 kilo santan segar
2 sudu besar kerisik
Gula kabung/merah secukup rasa
Garam secukup rasa
1 helai daun kunyit di carik, batang keras daun dibuang
5 helai daun limau purut, urat daun dibuang.

Bahan kisar:
8 batang serai
7cm lengkuas
1 sudu teh serbuk kunyit
2 sudu besar serbuk ketumbar
40 tangkai cili kering, buang biji dan rendam dengan air panas selama 5 minit (cili kering ini jenis kurang pedas)
5 ulas bawang putih
20 ulas bawang merah
5 cm halia
1 1/2 cawan air

Cara:
Masukkan bahan kisar, daging, paru dan santan ke dalam kuali. Kacau sehingga rata dan masak di atas api sederhana
Bila rendang hampir kering, masukkan kerisik, daun kunyit, daun limau purut, gula dan garam.
Kecilkan api dan masak rendang pedas sehingga kering. Kacau selalu.

Rendang Terlagi Lagi

Assalamualaikum

Rendang terlagi lagi ini popular di Negeri Perak.
Kenapa agaknya masakan ini dipanggil rendang terlagi lagi? Adakah kerana bila dah rasa sekali, pasti akan nak lagi dan nak lagi?
Pada pandangan saya mungkin juga, sebab rendang terlagi lagi ini memang sedap, terutama bila dimakan dengan ketupat atau pulut lemang…

image

Bahan-bahan:

1) 450g daging
2) 3 sudu besar kicap
3) 2 batang serai diketuk
4) 1 cawan santan pekat segar/ 1/2 kotak kecil santan kara
5) 1 sudu besar asam jawa diramas dengan 5 sudu besar air
6) 1 sudu besar kerisik
7) Garam secukup rasa

Bahan kisar:

1) 200g bawang merah
2) 4 ulas bawang putih
3) 15 tangkai cili kering dibuang biji dan rendam air panas sekejap
4) 4cm halia
5) 1 batang serai
Semua bahan dikisar sehingga lumat

Cara:

1) Panaskan minyak dalam kuali. Goreng daging selama 10 minit di atas api yang sederhana
2) Toskan daging dan terus tumbuk daging dengan lesung perlahan-lahan
3) Gaul daging dengan kicap dan perap selama 1 jam
4) Panaskan semula minyak bekas goreng daging dan tumis bahan kisar sehingga mendidih
5) Kecilkan api dan masak bahan kisar sehingga terbit minyak
6) Masukkan daging, gula melaka, santan, serai yang diketuk, air asam jawa dan kerisik
7) Akhir sekali masukkan garam secukup rasa dan masak rendang sehingga kuah hampir pekat

Selamat mencuba