Salad & Ayam Daikon

Sejak kebelakangan ini saya suka sangat masukkan daikon ke dalam masakan. Daikon atau lobak putih ini kaya dengan nutrien dan dikatakan sangat berkesan bagi melawan sel-sel kanser.

Daikon ni lebih berkhasiat dimakan mentah tapi tak sedap sebab bagi saya ada rasa maung. Daun daikon juga boleh dimakan. Rasanya sedikit pahit. Biasanya saya cuma buat salad je.. 🙂

1448547043204
Daikon yang telah disagat

1448546951011

AYAM DAIKON

 

1448546766342

 

Bahan-bahan:

1) 1 ekor ayam kampung dipotong 8
2) Air lebih dari paras ayam
3) 2 pokok ketumbar dengan akar dicuci bersih
4) 6 biji tomato ceri dibelah 2
5) 1 labu bawang besar dibelah empat & cili padi dihiris
6) 4 ulas bawang putih diketuk
7) 1~ 2 biji lemon
8) 1 batang daikon disagat nipis dan lebar. Garam secukup rasa.

Bila air dah mendidih masukkan ayam. Kemudian masukkan bahan 3~6 hingga masak. Tutup api baru masuk jus lemon, garam dan akhir sekali daikon. Tutup periuk dan biarkan sepuluh minit atau lebih supaya daikon menjadi lembut dan barulah dihidang.

SALAD DAUN DAIKON

 

1448546646160

Bahan-bahan:

1) Daun daikon dihiris dan dicelur seketika. Toskan dan kemudian perah buang airnya. Rasa daun ini sedikit pahit.
2) 1 biji tomato dihiris kecil.
3) 2 ulas bawang merah dihiris nipis
4) 1 tbsp bijan digoreng tanpa minyak hingga kekuningan.
5) Daun bawang dihiris.
6) Serbuk kasar cili kering.
7) Jus lemon, 1 tsp minyak zaitun, sedikit madu dan garam secukup rasa.

Gaul semua bahan sehingga rata dan biarkan 30 minit sebelum dihidang.

Mudahkan?
Try la.. 🙂

Makanan sihat, insyaAllah badan pun sihat 🙂

Asparagus.

Asparagus, sayur yang kaya dengan antioksidan amat bermanfaat bagi orang yang mengalami edema (pengumpulan cecair dalam tisu badan) kerana ia mengandungi paras tinggi amino acid asparagine yang berfungsi sebagai diuretik semulajadi. Ia membantu menghapuskan garam badan yang berlebihan. Kandungan glutathione yang terdapat dalam asparagus dikatakan dapat mencegah kulit dari kesan penuaan.

ASPARAGUS
image

SALAD ASPARAGUS
Salad Asparagus ini saya masukkan banyak bawang putih goreng 🙂
image

Bahan-bahan:

1) 10 ulas bawang putih diketuk dan dicincang. Goreng hingga kekuningan. Toskan
2) 1 paket asparagus (15 batang), 2 biji tomato, 2 ulas bawang merah, daun bawang dan naganegi (leek jepun) dihiris.
3) Jus lemon, lada hitam dan garam secukup rasa.

Campur semua bahan, gaul hingga rata dan biarkan selama 30 minit sebelum dihidang.

IKAN GORENG KERAPU
image
Saya perap ikan ini dengan serbuk kunyit, serbuk cili kering dan garam secukup rasa. Kalau suka pedas letak lebih serbuk cili kering.

SOTONG REBUS SERAI
image
Tidak dapat dinafikan masakan tomyam, asam pedas, lemon dan singgang sangat popular dan sedap. Tapi malam ini saya inginkan kelainan, jadi saya masak sotong rebus serai pula. Serai banyak khasiatnya. Ia mampu melegakan sakit otot dan sendi. Bukan itu saja, ia juga boleh mengurangkan uric acid dan merangsang pencernaan.

Untuk masakan ini saya rebus 5 batang serai yang diketuk, 3 ulas bawang putih diketuk, cili kering bersama 2 1/2 cawan air. Bila mendidih saya reneh selama 15 minit dan kemudian masukkan sotong. Masak sotong sekejap saja, kalau lama sotong boleh jadi keras dan liat..

Sudah siap pun dinner yang simple.. 🙂

Naganegi

Naganegi adalah leek jepun. Rasanya lain sikit daripada leek biasa. Sedikit manis dan sedikit pedas.

Untuk makan tengah hari ini saya buat salad Naganegi yang sangat simple.. 🙂
image

image

Satu batang Naganegi dihiris nipis. Kemudian saya masukkan isi seekor ikan kembung yang telah direbus dan dihancurkan kedalam Naganegi. Masukkan lada hitam, jus lemon, sedikit cili padi yang dihiris nipis, 1 tsp minyak bijan dan garam secukup rasa. Gaul sehingga sebati. Hmm… suka salad ini. 🙂