Sambal Herba

Bila saya tanya pada suami, sedap tak sambal herba ini?
Katanya, “oookay”
Anak-anak kata, “kuat betul terasa herbanya”

Pada saya pula, sedap dan menyelerakan haha….
.
.
.
Hanya saya seorang je yang suka sambal herba ini, hehehe…

image

SAMBAL HERBA
image

Bahan-bahan:

1) 1 mangkuk besar daun muda belinjau yg telah dihiris
2) 1 mangkuk kecil daun kaduk yang telah dihiris
3) 1 mangkuk kecil daun putat yang telah dihiris
4) 2 labu bawang besar dipotong kiub
5) 25 tangkai cili kering dibuang biji dan dikisar. Cili kering ini kurang pedas.
6) 4 ulas bawang putih di cincang
7) air asam jawa
8) gula molasses & garam secukup rasa.

Caranya:
1) Tumis bawang putih dan bawang besar sehingga kekuningan.
2) Masukkan cili kering yang telah dikisar dan masak sehingga terbit minyak dan cili kelihatan gelap dan pekat
3) Masukkan gula, garam dan sedikit air asam jawa
4) Masukkan daun2 ulam, besarkan api dan kacau sehingga nampak pekat.

Daun kaduk mengeluarkan bau dan rasa herba yang kuat bila dimasak lama. Jadi kalau tak suka boleh kurangkan ulam ini ke dalam sambal atau ganti dengan ulam lain. Tapi bagi saya yang suka daun kaduk, masakan ini memang sedap.

Suka sambal herba ini bila dihidang dengan ikan masin.

Daging Bebuas

Biasanya ramai juga yang gemar pucuk bebuas ini dicelur dan dicicah makan dengan sambal belacan atau pun dibuat masak lemak. Bagi saya daun bebuas ini sedap dan boleh di masukkan ke dalam pelbagai jenis masakan dan kerana rasanya yang unik, ia memberi rasa kelainan pada masakan….

Jom tengok resipi, mmm…sedap makan dengan nasi panas, menyelerakan 😀

DAUN BEBUAS
image

ANTARA MENU BERBUKA SEMALAM:
image

DAGING BEBUAS
image

Bahan-bahan:

1) 1 mangkuk daging batang pinang dihiris nipis
2) 2 batang serai dihiris nipis dan dicincang halus
3) 1 labu bawang besar dihiris nipis dan dicincang
4) Cili padi dihiris nipis
5) Serbuk kasar lada hitam & sedikit kicap pekat
6) 2 mangkuk pucuk muda daun bebuas dihiris kasar

Caranya:
1) Perap bahan 1 ~ 5 selama 10 minit.
2) Panaskan 1 mangkuk minyak dan goreng daging sehingga serai dan bawang menjadi garing
3) Toskan daging dan masukkan daging semula ke dalam kuali
4) Masukkan daun bebuas dan garam secukup rasa dan goreng sehingga daun bebuas layu dan kering.

Selamat menjamu selera 🙂

Ketumbar Jawa

Pokok ketumbar jawa ini saya beli pada 3 bulan lepas. Tak sangka pula pokok ini hidup, sebabnya beberapa hari selepas saya pindahkan ia ke dalam pasu, pokok ini jadi kering, kekuningan dan macam dah tak nak hidup lagi, hehehe…
Alhamdulillah, sekarang nampaknya pokok ketumbar jawa saya ini, hidup dengan segar bugar sekali. 😉

Pokok ketumbar jawa boleh ditanam dengan biji atau keratan batang. Walaupun ia lebih dikenali sebagai herba masakan yang digunakan sebagai pengganti ketumbar, ketumbar jawa juga digunakan untuk tujuan perubatan. Namun begitu ia tidak sesuai digunakan sebagai ubat bagi wanita yang hamil atau yang ingin hamil.

Seluruh bahagian pokok ini digunakan untuk merangsang dan melawaskan haid, merangsang peluh, merawat demam panas, sakit perut, mengeluarkan angin dari perut dan usus dan menurun tekanan darah tinggi.

image

image

Daun muda ketumbar jawa berbau seperti daun ketumbar biasa dan ia boleh dibuat ulam atau pun di masukkan ke dalam masakan bagi menambah perisa…

Ruj:
Ong Hean Chooi
Rempah-ratus
Khasiat makanan & Ubatan