Khasiat Akar & Daun Kaduk

Kadang-kadang bila terpandang pada daun kaduk, ia seakan juga dengan daun sirih, cuma daun kaduk ini warnanya lebih hijau tua dan berkilat. Pokok kaduk mudah ditanam dengan menggunakan keratan ranting atau taburan biji benih dan ia cepat membiak dan hidup subur dikawasan yang lembap.

Selain pucuknya yang sering dibuat ulam, daun kaduk juga dimakan sebagai pembuka selera apabila direbus atau dicelur dan dicicah dengan sambal belacan. Ia juga banyak digunakan sebagai perisa dalam masakan melayu.

Daun kaduk mempunyai kadar antioksidan yang tinggi.
image

Khasiat akar & daun kaduk dapat merawat:
1) Air rebusannya diminum untuk tujuan merawat masalah penghadaman, melegakan sakit tulang, lenguh dan bisa badan, melegakan masalah angin dalam perut dan usus serta menurunkan suhu demam panas.
2) Daun kaduk yang ditumbuk lumat, ditampal dan digunakan untuk melegakan sakit kepala, sakit tulang atau dipupukkan pada bahagian yang dijangkiti panau.
3) Manakala akar kaduk boleh merawat sakit gigi & gusi. Tumbuk lumat dan tampal pada tempat yang sakit.
4) Air rebusan akar kaduk boleh digunakan untuk merendam kaki yang dijangkiti kulat.

Teringat masa muda dahulu ketika dalam pantang bersalin… mak saya akan panaskan tungku dan dimasukkannya ke dalam kain yang berlapikkan berbagai jenis daun herba termasuklah daun kaduk. Ia dituam dibahagian tertentu bertujuan untuk mengecutkan rahim dan mengeluarkan angin serta memberi rasa kesegaran pada tubuh badan. 🙂

Sumber: Rempah-ratus
Ong Hean Chooi

Meehoon Sup

Bila suami telefon nak balik makan tengah hari dan beritahu dia tak mahu makan nasi, saya pun fikir elok jugalah saya masakkan meehoon sup untuknya.

Menu yang ringkas dan mudah menyediakannya. Sekali sekala makan meehoon sup bestlah juga. Biasanya bila saya masak meehoon sup, saya suka masukkan daun sawi, carrot dan taugeh. Tapi bila tengok semua bahan tu tak ada jadi saya pun masak je lah dengan bahan-bahan yang sedia ada dalam peti sejuk.

Habis licin meehoon sup, sedaplah tu hehe..

MEEHOON SUP
image

Bahan-bahan:
1) Segenggam ikan bilis direbus dengan 1 1/2 mangkuk air dan tapis ambil airnya.
2) Daging ayam dihiris
3) 4 ulas bawang putih diketuk dan dicincang.
4) 1 mangkuk cendawan baby eringii
5) 2 tangkai daun bawang dihiris
6) 1 biji tomato dihiris kiub
7) 2 biji telur ayam kampung dipukul
8) Serbuk lada hitam, serbuk lada sulah, & garam
9) 1 mangkuk meehoon yang telah direndam.

Caranya:
1) Tumis bawang putih hingga kekuningan
2) Masukkan air rebusan ikan bilis dan daging ayam
3) Bila ayam dah hampir nak masak, masukkan tomato, serbuk lada, lada hitam & cendawan eringii.
4) Masukkan daun bawang & telur dan kacau hingga sebati.
5)Masukkan meehoon dan tutup api. Ops garam secukup rasa.

Sebelum makan, sedap bila ditabur dengan bawang goreng dan cili jeruk.. 🙂

Kelebihan Pokok Putat

Mari kita baca tentang kelebihan pokok putat…

Pokok putat mempunyai khasiat tersendiri. Pucuknya baik untuk kesihatan kulit dan ia melancarkan perjalanan darah. Ramai yang kata daun putat ini untuk awet muda… 😉 Buahnya pula boleh mencegah serangan gatal-gatal disamping boleh mengubati beberapa penyakit kulit.

Daun yang matang dikatakan boleh mengubati penyakit cacar air; iaitu dengan mengambil 5 atau 6 helai daun, ditumbuk dengan beras dan kemudian dipupuk atau disapu pada bahagian yang terkena cacar. Manakala kulit batangnya yang telah dikeringkan terlebih dahulu boleh mengurangkan komplikasi resdung; iaitu dengan menyedut asap kulit putat yang dibakar sedikit-sedikit itu sehingga merasakan hendak terbersin dan air lendir keluar dari hidung. Ulangi setiap hari sehingga penyakit resdung sembuh.

PUCUK PUTAT
Pucuk putat muda sering dimakan sebagai ulam atau dihiris untuk ramuan nasi kerabu. Bagi peminat laksa utara, ada juga yang suka masukkan pucuk putat ke dalam laksa kerana dikatakan ia dapat menambah kesedapan rasa pada laksa.. 😉
image

BUAH PUTAT
Rasanya yang kelat dan boleh juga dimakan begitu saja atau dibuat sambal.
image
Buah putat dibelah dua, buang biji & ditumbuk sebelum dimasak
image
Rasa kelat pada buah muda hampir tiada selepas dimasak. Buah yang matang mengandungi sabut, jadi ia tidak sedap dibuat ulam atau pun masakan.

MASAK LEMAK BUAH PUTAT & JERUK BELIMBING
image
Masak lemak ini sangat mudah. Ikan bilis ditumbuk dengan cili padi dan serbuk kunyit. Masak air dan masukkan buah putat dan bahan yang ditumbuk. Bila dah masak baru masukkan jeruk belimbing buluh dan santan pekat. Garam secukup rasa.

Ada juga orang kata, buah putat ini sedap juga dibuat masakan sambal tumis. Bolehlah dicuba nanti.. 😉 Walauapapun kena pastikan buah yang muda, baru rasa enak setiap masakan itu.

Semalam saya juga buat salad cendawan eryngii.

Jom tengok.. 🙂

CENDAWAN ERYNGII DIKUKUS
image

SALAD CENDAWAN
image

Salad cendawan:

Bahan-bahan:
1) 5 cendawan eryngii dikukus sehingga masak dan dihiris
2) 1 biji tomato dihiris nipis
3) 1/2 labu bawang besar dihiris nipis
4) 5 biji cili jeruk dihiris nipis
5) Jus lemon, lada hitam dan garam

caranya:
1) Campur bahan 1 ~ 3 dan gaul bagi rata.
2) Masukkan jus lemon, lada hitam dan garam secukup rasa
3) Akhir sekali baru masukkan hirisan cili jeruk dan gaul bagi sebati dan hidang selepas 30 minit.

Kalau rasa tak nak masak cendawan goreng hari ini, bolehlah try salad cendawan pula.
Selamat mencuba 😉

Rujukan:
Putat ubat cacar air, gatal dan resdung.