Pajeri Manggis & Brokoli

Semalam saya sediakan masakan pajeri manggis & brokoli untuk dinner. Saya memang suka pajeri. Terdapat pelbagai jenis, ada pajeri terung, nenas, mangga muda, kedongdong muda, rebung dan sebagainya.

Saya juga suka variasikan bahan utama masakan pajeri ini supaya ada kelainan dalam masakan disamping rasanya yang sedap. Sebelum ini saya pernah juga buat pajeri buah pear.

Buah manggis memang enak bila dimasukkan ke dalam pajeri. Rasanya yang manis dan sedikit masam itu membuatkan pajeri ini sedap. Saya cuma masukkan 10 biji buah manggis kecil je. Bagi sayalah, lagi banyak manggis digunakan lagi sedap pajeri ni. Tapi janganlah sampai pajeri menjadi terlebih manis kerana buah manggis pula. Untuk masakan pajeri ini saya tidak masukkan udang kering ataupun ikan bilis kerana saya nak kekalkan rasa buah manggis.

Ok jom cuba pajeri kegemaran saya yang mudah ini. Semua bahan-bahan tidak perlu dikisar ataupun ditumbuk, cuma hiris je. Kalau rajin bolehlah buat kerisik sendiri, kalau tidak tiru je macam saya, beli yang dah siap 😉
image

Bahan-bahan:
1) 10 biji buah manggis. Buangkan kulit dan leraikan isi
2) 400g brokoli di hiris sederhana besar
3) 1 1/2 halia di mayang
4) 3 ulas bawang putih dihiris nipis
5) 1/2 labu bawang besar dihiris nipis
6) 2″ kulit kayu manis
7) 4 menimbun tbsp (4 heaped tbsp) serbuk kari ikan adabi + sedikit air
8) 1 1/2 ~ 2 tbsp kerisik
9) 1/2 kotak kecil santan kara & 1/2 cawan air.

Cara:

1) Tumis bawang putih, halia, bawang besar dan kulit kayu manis sehingga bawang kekuningan
2) Masukkan rempah kari dan masak sehingga terbit minyak
3) Satukan air, santan dan kerisik dan kacau sehingga sebati
4) Kemudian masukkan campuran santan dan buah manggis dan masak sehingga kuah kelihatan hampir pekat. Akhir sekali masukkan brokoli.
5) Bila brokoli hampir lembut bolehlah tutup api.

Makan dengan ikan masin kurau memang menyelerakan.

Nasi Ayam

Dah lama saya tak buat nasi ayam. Kadang-kadang tu bila terasa nak makan nasi ayam beli juga di gerai dekat rumah yang sememangnya sedap.
Sebenarnya nak masak nasi ayam ni mudah dan kebanyakkan resipi lebih kurang sama saja. Kata kawan saya, kalau nak sedapkan nasi ayam, mesti kena guna marjerin. Tapi saya pulak lebih suka gunakan minyak sapi dan mentega.
Baru-baru ini, saya sediakan nasi ayam untuk keluarga. Mmm… Seronok masak sendiri, bila kita tengok keluarga makan bertambah-bertambah. 🙂

Resipi di bawah nampak je panjang tapi senang saja masaknya…

 

1448527416331

 

Bahan Sup:
1) 1 ekor ayam kampung dipotong kecil
2) 1 batang serai diketuk
3) 1 sup bunjut
4) 1 batang kulit kayu manis, 2 kuntum bunga lawang, 3 kuntum bunga cengkih & 2 biji buah pelaga.
5) 5 ulas bawang merah dihiris nipis dan 3 ulas bawang putih dicincang

6) 8 ulas bawang putih ditumbuk hancur
7) Kicap

Cara:
1) Rebus ayam dengan air secukupnya. Masukkan sup bunjut dan serai.
2) Tumis bahan 4 dan 5 sehingga bawang kekuningan dan kemudian tuang bahan tumis ini ke dalam rebusan ayam.
3) Bila dah masak baru masukkan garam.
4) Kemudian toskan ayam.
5) Lumur ayam dengan bawang putih yang telah ditumbuk, campur kicap dan sedikit garam dan perap selama 1 jam. Goreng ayam seperti biasa atau bakar dalam oven.

Bahan nasi:
1) 3 cawan beras. Saya guna beras basmati, basuh dan toskan
2) Sup ayam & 1 helai daun pandan disimpul
3) 1 1/2″ halia dihiris
4) 3 ulas bawang putih dicincang halus
5) Minyak sapi untuk menumis
6) 1 sudu besar mentega

Cara:
1) Masukkan beras, daun pandan dan sup ayam secukupnya ke dalam rice cooker
2) Panaskan minyak sapi dan tumis bawang putih dan halia hingga kekuningan dan akhir sekali masukkan mentega.
3) kemudian masukkan bahan tumis ke dalam beras dan kacau rata.
4) Bila dah masak pastikan nasi digemburkan.

Bahan sos cili:
1) 4 biji cili merah & 1 cili padi
2) 1/2 biji tomato
3) 2 ulas bawang putih
4) 1/3 cawan sup ayam
5) 1 1/2 sudu besar sos cili
6) Sedikit halia dan garam secukup rasa.
Kisar semua bahan.

Bahan sos kicap:
2 ulas bawang putih ditumbuk lumat
Kicap cap kipas udang
1/3 cawan sup ayam
Satukan semua bahan.

Bahan hiasan:
1) Tomato
2) Daun salad
3) Timun
4) Bawang goreng
5) Daun sup & daun bawang

Jom jamu selera. 🙂

Hydrangea

Pokok hydrangea juga dikenali sebagai pokok bunga tiga bulan atau pokok bunga Siti Zubaidah. Ia berasal dari negara Jepun. Warna bunganya bergantung kepada pH tanah. Jika tanah lebih berasid, bunganya akan bewarna biru. Manakala tanah berakali akan menghasilkan bunga merah muda.

Tapi tahukah anda bahawa akarnya boleh memberi manfaat pada kesihatan badan?.

Akar hydrangea adalah herba yang telah lama digunakan untuk merawat saluran kencing dan masalah prostat. Ia juga membantu mencegah pembentukan batu karang dan membantu melegakan kesakitan di pundi kencing, urethra dan ginjal. Akar hydrangea sangat diuretik oleh itu ia membantu meningkatkan aliran air kencing.

HYDRANGEA
image

image

image

image

image

Teh hydrangea adalah minuman yang popular di negara Jepun. Ia dikenali sebagai amacha yang bermaksud teh manis. Teh herba ini dibuat dari daun hydrangea yang ditapai. Teh ini mengandungi tannin. Ia beratus kali lebih manis daripada gula atau 2 kali lebih manis dari sakarin. Teh hydrangea juga tidak mengandungi kafein.

Akar hydrangea tidak digalakkan untuk kegunaan jangka panjang, semasa mengandung atau menyusu. Ia juga boleh menambah kesan pada ubat-ubatan yang diambil dan juga gula dalam darah. Penggunaan yang berlebihan boleh menyebabkan pening dan sesak dada.

Cara mengambil akar hydrangea:
Menurut Health.com
2~4 tsp akar kering direndam dalam secawan air panas selama 10~15 minit. Minum 3 kali sehari.
Walaubagaimanapun, adalah dinasihatkan anda mendapat pandangan doktor sebelum menggunakan rawatan herba ini.

Rujukan:
The Desktop Guide to Herbal Medicine
Health benefits of Hydrangea