Salam semua
Dua minggu lepas saya ada buat kimchi. Biasanya saya buat kimchi dengan kobis napa saja tapi kali ini saya menggunakan campuran sayur kobis napa, lobak putih/daikon dan brussels sprout. Senang kalau ada stok kimchi di rumah terutamanya bila nak masak cepat-cepat hehe..
Petang semalam saya memang nak cepat, jadi saya buat masak lemak kimchi. Bezanya, kali ini saya masukkan daun limau purut untuk memberi kelainan pada rasa kuahnya. Ternyata masakan ini tidak menghampakan dan memenuhi citarasa kami sekeluarga.. 🙂
Jom cuba
Masak lemak kimchi & daun limau purut
Bahan-bahan:
1) 1 cawan kimchi
2) 6 ekor udang besar, dibuang urat hitam. Kekalkan kulit
3) 1 cawan air
4) 2/3 cawan santan pekat/kotak (saya guna kara)
5) 4 helai daun muda limau purut dicarik-carik
6) Garam secukup rasa
Cara:
1) Masak bahan 1~3 sehingga mendidih.
2) Masukkan santan dan daun limau purut. Kacau sehingga santan mendidih. Padam api
3) Garam secukup rasa
Kimchi
Bahan-bahan:
1) 1 biji kobis napa (anggaran 500g) dihiris panjang 1 1/2″
2) 1 batang lobak putih dipotong seperti mancis. Anggaran 1/2cm tebal
3) 500g sayur brussels sprout dibelah empat
4) 6 pokok daun bawang dihiris
5) 1/2 cawan garam himalaya + 2 mangkuk air suam, kacau hingga larut
6) 1 biji epal dibuang kulit
7) 1 biji pear dibuang kulit
8) 2 biji bawang besar saiz kecil
9) 2 sudu teh bawang putih yang dicincang
10) 2 sudu besar halia yang dicincang
11) 6 sudu besar serbuk cili kering atau mengikut citarasa pedas (serbuk cili yang saya guna ini agak pedas)
12) 6 sudu besar air rebusan ikan bilis (6 sudu besar ikan bilis + 1 cawan air, rebus dan biarkan sejuk)
Cara membuat kimchi:
Cara-caranya:
1) Masukkan kobis napa, lobak putih dan brussels sprout ke dalam bekas dan tuang air garam, gaul rata dan biarkan selama 4 jam. Tutup bekas.
2) Selepas 4 jam, sayur dibilas 2 atau 3 kali dan perah sayur perlahan2 supaya sejat air
3) Kisar buah pear dan epal tanpa air.
4) Masukkan serbuk cili, bawang putih, halia, air rebusan ikan bilis & bahan yang dikisar kedalam mangkuk dan gaul rata.
5) Masukkan adunan no.4 ke dalam mangkuk sayur dan daun bawang. Gaul sehingga rata dan masukkan ke dalam balang kaca kedap udara.
6) Selepas 24 jam bolehlah masukkan balang kimchi ke dalam peti sejuk.
Kimchi yang diperam selama 2 hingga 3 minggu menghasilkan lactic acid dan vitamin terbanyak dan ia juga paling sedap dimakan waktu ini.
balik rumah nanti, mmg nak ajak ibu experiment masakan ni,nmpak sedap!
Balik raya? cubalah..bagi aunty & family sedap masakan ini 🙂
Insya-Allah saya balik ahad ni. Hehe boleh buat juada berbuka