Ketam Masak Krim

Assalamualaikum.

Beberapa hari kebelakangan ini, cuaca sentiasa mendung dan boleh dikatakan hampir setiap hari hujan. Suka saya, terasa nyaman sekali…

Hari ini genap sudah seminggu kita berpuasa. Terasa begitu cepat masa berlalu. Syukur, sehingga kini kita masih diberi peluang untuk melaksanakan ibadah puasa oleh Allah ta’ala…. Alhamdulillah.

Untuk iftar tadi, kami menikmati ketam masak krim yang sedap 😀

image

Bahan-bahan:

5 ekor ketam. Dibersihkan dan dibelah dua.
4 sudu makan minyak
50g mentega
5 ulas bawang putih diketuk dan dicincang halus
1/2 labu bawang besar dipotong kiub kecil
15 biji cili padi dihiris nipis
2 tangkai daun kari diraut
1/2 sudu teh serbuk kasar lada hitam
1 tin susu sejat (Ideal Milk- 400g)
1/4 cawan air
1 sudu besar tepung beras, campur sedikit air
Garam secukup rasa

Cara:

1) Panaskan minyak dan masukkan mentega.
2) Tumis bawang putih, bawang besar dan cili padi sehingga bawang kelihatan kekuningan
3) Masukkan daun kari dan goreng sehingga terbit bau
4) Masukkan susu, air, garam dan serbuk lada hitam dan masak sehingga mendidih
5) Masukkan tepung beras dan kacau sehingga rata
6) Masukkan ketam dan gaul. Kecilkan api. Tutup periuk dan biarkan diatas api sehingga ketam masak. Sekali sekala kacau ketam rata.

Terung Kari Goreng

Assalamualaikum..

Hidangan berbuka puasa sebentar tadi. 😀

image

Bahan-bahan:

3 biji terung bulat. Dipotong 3 setiap satu
1 sudu besar tepung beras
1 sudu besar serbuk kari ikan Adabi
Garam
1/2 cawan minyak

Cara:

1) Satukan tepung beras, rempah kari dan garam. Kacau rata.
2) Tekap semua hirisan terung pada campuran rempah kari
3) Panaskan minyak dan goreng kepingan terung. Balik-balikan terung.
4) Sekiranya tepung kari kurang melekat, taburkan baki tepung kari keatas terung ketika goreng

Selamat mencuba..

Kerabu Pegaga

Assalamualaikum..

Kali ini saya pos kerabu pegaga pula. Hidangan ini sesuai bagi mereka yang begitu perihatin menjaga kesihatan terutama dibulan yang mulia ini. 😀

image

Bahan-bahan:

2 ikat pegaga, ambil daun dan batang yang lembut sahaja. Pegaga dihiris kasar
1 biji buah tomato dipotong kiub
7 ulas bawang merah dihiris
3 cili merah dibuang biji
5 cili padi
4 sudu besar penuh kelapa parut
3 sudu besar jus lemon
Garam secukup rasa

Cara:

1) Tumbuk cili padi dan cili merah tapi jangan lumat dan kemudian masukkan kelapa parut dan tumbuk bagi sebati
2) Satukan bahan yang ditumbuk, bawang merah, buah tomato dan pegaga, jus lemon dan garam secukup rasa. Gaul dan ramas sehingga rata dan sebati.
Siap untuk dihidang