Buah Safarjal

Sebelum ke Tanah Suci, saya telah berpesan kepada suami dan anak supaya ingatkan saya beli buah safarjal (Quince) ketika di sana. Sepanjang 3 hari kami berada di Madinah memang tidak ingat langsung. Alhamdulillah hari ke 4 iaitu sehari sebelum kami bertolak ke Mekah, ketika di kedai buku, tiba-tiba saya teringat niat saya untuk mencari buah ini.

Saya tidak pernah melihat buah ini, cuma gambarnya saja. Jadi saya pun bertanya kepada penjual buku, di mana saya boleh dapatkan buah safarjal ini.
Cari di supermarket Bin Dawood Madinah tak ada tapi akhirnya dapat beli di Mekah

image

Dalam Tibb an Nabawi, Ibn Al Qayyim ada menyebut bahawa buah Safarjal memberi manfaat kepada perut dan jantung. Beliau berkata, buah ini boleh menghilangkan dahaga, mengurangkan rasa loya dan menghentikan muntah, meningkatkan perkumuhan air kencing dan bermanfaat untuk merawat ulser. Mengambil safarjal sebelum makan boleh menyebabkan sembelit dan mengambil selepas makan dapat membantu penghadaman. Manakala mengambil safarjal secara berlebihan boleh menjejaskan saraf dan boleh menyebabkan sembelit yang serius. Namun begitu, biji safarjal (macam biji epal) sangat baik untuk mencegah kering tekak dan saluran penafasan.

Buah ini kelihatan seperti buah pear dan bila dibelah dua nampak macam epal. Buah safarjal agak keras dan sukar dimakan segar(mentah). Rasanya sedikit macam epal, sedikit masam dan ada juga rasa kelat (mungkin buah muda) dan baunya harum. Buah ini biasanya dibuat jem. Boleh juga direbus dengan susu dan dimaniskan dengan madu atau dimasak sebagai pencuci mulut. Harga sekilo 18 Riyal (RM16.20).

Buah safarjal dikatakan banyak terdapat di Turki, Negara Arab, Iran, Pakistan dan Eropah.

Rujukan:
Healing with the Medicine of the Prophet s.a.w ~ Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyah

Buah Bel

Dah banyak bulan saya beli buah bel kering ini. Saya beli semasa saya di Bangkok. Baru tadi saya rebus dan minum. Rasanya? Bagi saya macam minum air minyak angin, ok lah juga. 🙂

Buah bel yang belum masak, dikeringkan dan digunakan untuk merawat cirit-birit dan disenteri. Manakala yang masak pula dikatakan dapat membantu penghadaman. Ia juga dimakan sebagai julap. Di negara Cambodia, bual bel diambil bagi merawat batuk kering dan hepatitis.

image

image

Rujukan:
100 Useful Herbs of Malaysia and Singapore.

Xanthone

Bila tiba musim durian maka tiba jugalah musim manggis. Kalau durian dikenali sebagai “king of fruit”, manggis pula disebut sebagai “Queen of fruit”.
Kata orang, kalau lepas makan durian, bagus juga makan manggis, sebabnya durian panaskan badan dan manggis pula sejukkan badan, mmm…betul ke?

Buah manggis banyak manfaat terutama kulitnya. Jom baca, apa kelebihan buah manggis ini sehingga jusnya dijual dengan harga yang mahal di pasaran.

image

Terdapat dalam buah manggis sejenis fitonutrien yang kuat iaitu Xanthone. Xanthone dikenali sebagai antioksida yang mampu meneutralkan radikal bebas iaitu penyebab penyakit degeneratif seperti jantung, strok dan kanser. Xanthone boleh memberi kesan positif kepada fungsi badan menjadi lebih sihat. Ia bermanfaat menghalang proses degenerasi sekaligus merangsang regenerasi sel rosak sehingga menjadikan awet muda. Kulit buah manggis mengandungi xanthone 27 kali lebih banyak daripada isi buahnya. Kandungan antioksida dalam kulit manggis 66.7 kali lobak dan 8.3 kali limau.

Dikatakan buah manggis boleh digunakan untuk mengubati buasir, keputihan, tonsil, cirit birit, batuk dan sakit gigi manakala kulitnya pula baik untuk memelihara kesihatan kulit, merawat sembelit, disentri, sakit mulut dan kejang.

Ramuan untuk disentri:
Kulit 2 biji buah manggis dicuci bersih dan dipotong kecil. Kemudian rebus dengan 5 gelas air sehingga baki 2 gelas. Tapis dan sejukkan. Minum 3/4 gelas dua kali sehari. Boleh tambah madu jika suka.

Rujukan:
Ensiklopedia
Herba Nusantara Berkhasiat,
Bukti Ilmiah & Cara Penyediaan.