Sukun Goreng

Semalam saya beli 2 biji buah sukun. Ada orang beri petua pada saya, bila nak beli buah sukun, pilih kulit yang licin dan kotor-kotor penuh dengan getah sukun. Saya akan ikut petua ini setiap kali saya beli buah sukun dan ternyata tidak menghampakan, alhamdulillah. Kalau nak buat sukun goreng, kena pastikan buah yang mekal dan keras, baru sedap dan goreng pun tak serap minyak.
Dulu kalau saya goreng sukun saya celup dalam bancuhan tepung beras tapi sekarang tidak lagi. Bagi saya, goreng tanpa bancuhan tepung lagilah sedap. Saya cuma gaulkan hirisan buah sukun dengan kunyit dan garam saja..

Pagi tadi goreng buah sukun, makan panas-panas memang sedap! 🙂

image

Buah Belinggai

Pagi tadi ketika di pasar tani, saya ternampak buah belinggai atau dipanggil juga buah gelinggai. Lama benar saya tak makan buah ini, rasanya dah berpuluh-puluh tahun.

Pada mulanya saya kurang pasti ini buah belinggai tapi bila dihidu, baunya membuat saya terkenang pada buah yang sering saya makan dengan susu pekat pada masa saya budak-budak dulu. 🙂

Buah belinggai biasanya dimakan begitu saja dan ada juga setengah orang buat air minuman atau makan dengan santan dan gula merah. Rasanya masam-masam lemak dan ia kaya dengan zat beta-carotene juga mengandungi vitamin B dan sedikit vitamin C.

Buah belinggai, dikatakan boleh membantu menurunkan kolesterol LDL, mengurangkan suhu panas badan dan baik untuk penghadaman.

image

image
Kulitnya keras dan perlu gunakan tukul atau parang untuk pecahkan. Buah belinggai berbau wangi dan mengandungi banyak biji-biji kecil.