Puding Bakar

Baru-baru ini saya masak puding mangga roti bakar sebagai hidangan makan petang hari…

Puding ini memang sedap jika dimasukkan banyak isi mangga yang manis ranum. Saya suka dinginkan puding dalam peti ais sebab bagi saya ia enak dimakan bila sejuk.
Asalnya saya nak buat sos untuk dimakan dengan puding bakar ini tapi kata anak-anak, tak perlu sebab dah sedap makan gitu saja. Maka puding ini pun dijamu tanpa sos, hehe..

image

Panaskan oven pada suhu 190°C

Bahan-bahan:
1) 4 keping roti gardenia dipotong dadu
2) 1 biji buah mangga yang besar dan ranum di potong kecil-kecil
3) 3 sudu besar gula molasses/merah (gula pasir biasa pun boleh)
4) 1 tin susu sejat/ ideal milk (390g)
5) 1/2 sudu teh garam
6) 2 sudu besar tepung gandum & 2 biji telur dipukul sebati dan ditapis
7) 1 sudu besar minyak zaitun

Caranya:
1) Masukkan semua bahan kedalam mangkuk dan gaul sebati
2) Biarkan 10 minit
3) Gaul rata dan kemudian masukkan adunan ke dalam mangkuk yang telah disapu dengan sedikit minyak
4) Bakar selama 25 minit atau sehingga masak kekuningan

Ikan Senangin Kukus

Assalamualaikum

Dah lama benar saya tidak masak ikan kukus. Masakan ini mudah dan cepat disediakan dan boleh dikategorikan makanan sihat.

Jom try resipi hujung minggu ini 🙂

 

1448939586316

 

Bahan-bahan:

1) 1 ekor ikan senangin
2) 1 kuntum bunga kantan. Ambil hanya bahagian yang lembut saja. Dihiris nipis
3) 1 inci halia muda di mayang nipis
4) 1 ulas bawang merah dihiris nipis
5) 1 sudu besar sos tiram
6) Serbuk kasar lada hitam
7) Garam

Caranya:

1) Panaskan periuk pengukus
2) Semua bahan 1~7 digaul sehingga rata
3) Belah dikedua bahagian ikan dan masukkan bahan yang digaul ke dalam ikan
4) Kukus dengan api yang besar selama 10 minit

Ikan kukus senangin sesuai dicicah dengan sambal belacan atau sambal garam dan sedap dimakan panas..

Masak Lemak Eryngii & Ikan Asin Kurau

Salam Jumaat.

Hari ni saya nak share masakan yang sering juga saya hidangkan kepada keluarga. Seperti biasa masak macam ini tidak perlu lauk pauk yang banyak, ada ikan goreng dan sambal dah mencukupi. Pekena dengan nasi panas, memang menyelerakan! 🙂

image

Bahan-bahan:
1) 4 pokok cendawan eryngii
2) 50 g ikan masin kurau
3) Cili padi
4) Serbuk kunyit
5) 2 batang serai diketuk
6) 1 cawan air
7) 1 kotak kecil santan kara
8) Garam secukup rasa jika perlu

Caranya:
1) Eryngii dihiris sederhana nipis
2) Ikan masin kurau, cili padi dan serbuk kunyit ditumbuk hancur
3) Panaskan 1 cawan air dan masukkan bahan yang ditumbuk.
4) Bila dah mendidih masukkan cendawan eryngii dan serai
5) Cendawan dah masak, masukkan 1 kotak santan kara. Kacau sehingga rata.
6) Biarkan mendidih sekejap saja agar tidak pecah minyak, baru padamkan api

Jom jamu selera.