Eryngii Cili Kering

Assalamualaikum..

Hari ini saya kongsi resipi cendawan eryngii cili kering untuk hidangan iftar 🙂

image

Bahan-bahan

1) 5 pokok cendawan eryngii dibelah dua dan dihiris
2) 1 sudu teh serbuk ikan bilis maggi
3) 1/3 sudu teh serbuk lada putih
4) 1/3 sudu teh serbuk halia
5) 1/2 sudu teh serbuk kunyit dan garam secukup rasa
6) 1 labu bawang besar dibelah 8
7) 8 tangkai cili kering dihiris dan dibuang biji
8) 4 ulas bawang putih serta kulit dicuci bersih, diketuk dan dicincang

Cara:

1) Gaul Cendawan eryngii dengan bahan 2~5
2) Panaskan minyak dan tumis bawang putih dan bawang besar sehingga kuning.
3) Masukkan cendawan dan cili kering. Besarkan api dan goreng sehingga hampir garing. Hendaklah dikacau selalu semasa menggoreng.

♡ it 😀

Lemak Putih & Daun Kari

Assalamualaikum..

Masakan lemak putih adalah masakan tradisi yang sangat popular dikalangan orang melayu. Kalau di kampung, masakan ini sering digandingkan dengan ikan masin dan sambal belacan. Walaupun masakan ini mudah dan simple, ia memang sedap.

Semalam saya masak sayur lemak putih kubis dengan sawi. Kali ini saya masukkan juga daun kari supaya memberi kelainan pada rasa. Ternyata rasanya berbeza dari biasa hanya kerana membuat sedikit tambahan sahaja.
Daun-daun seperti limau purut, ketumbar, kunyit dan kari boleh mempengaruhi rasa pada masakan. Saya suka gunakan daun seperti ini untuk masakan saya, supaya rasa pada masakan sentiasa ada kelainan setiap kali walaupun ada ketikanya bahan lain yang digunakan hampir semuanya sama sahaja…

Jom lihat resipi..

image

Bahan-bahan:

1) 300g kubis dihiris
2) 200g sawi dihiris dan asingkan daun dan batang
3) 5 ulas bawang merah dihiris
4) 3 ulas bawang putih dihiris
5) Serbuk kasar lada hitam
6) 1 1/2 tsp serbuk pati ikan bilis knorr
7) 6 tangkai cili kering, hiris dan buang biji
8) 2 cawan air
9) 4 tangkai daun kari
10) 1/2 cawan santan pekat segar/santan kotak kara
11) Garam secukup rasa

Cara:

1) Panaskan 2 cawan air dan masukkan bahan 3~7 dan masak sehingga mendidih
2) Masukkan batang sawi dahulu, kemudian baru masuk daun sawi, kubis dan daun kari. Kacau rata
3) Akhir masukkan santan dan garam. Mendidih sekejap, padamkan api.

Kerabu Sawi Sesame

Assalamualaikum..
Apa khabar semua hari ini? Saya seperti biasa, ada ketika tu sibuklah juga mengurus rumah tangga.
Hari ini dah pun 12 Ramadan, cepat betul kan masa berlalu? Kalau dipanjangkan usia, Kita masih ada lagi, lebih dari setengah bulan baki Ramadan sebelum Shawal datang menyusul. Bila dah dekat raya nanti, mulalah kita sibuk membuat persiapan bagi meraikan hari kemenangan kita sebagai hamba Allah yang telah berjaya melaksanakan kewajipan berpuasa. InshaaAllah.
Seperti biasa, persiapan raya saya cuma ala kadar sahaja. Kuih raya selalunya anak-anak yang belikan, sedap-sedap pula tu! Lagipun diusia kini, saya dah kurang suka mengadap oven, hehe..

Anyway, semalam saya hidangkan kerabu sawi minyak bijan tapi saya namakan resipi ini kerabu sawi sesame, supaya resipi ini bunyi canggihlah sikit 🙂
Alhamdulillah keluarga saya suka hidangan ini. Rasanya yang masam-masam sedikit dan makan pula dengan masak lemak ikan masin kurau, begitu menyelerakan..

Jom cuba

image

Bahan-bahan:

1) 350g sayur sawi dihiris
2) 1 biji buah tomato dibelah dua dan dihiris nipis
3) 1/2 labu bawang besar dihiris nipis
4) 1 sudu teh serbuk kasar cili kering
5) 1 sudu teh serbuk pati ikan bilis knorr
6) 1/2 sudu teh serbuk lada putih
7) 1 1/2 sudu besar minyak bijan/sesame
8) Jus lemon
9) Garam secukup rasa

Kalau suka pedas boleh masukkan hirisan cili padi

Cara:

1) Batang sawi dicelur terlebih dahulu dan kemudian segera siram dengan air
2) Celur daun sawi, angkat dan siram air
3) Perah batang dan daun sawi
4) Gaul semua bahan 2~9 sehingga sebati
5) Masukkan sawi dan gaul sehingga rata
6) Biarkan 30 minit barulah dihidang