Jeruk Kai Choy

Mak dan adik saya dalam perjalanan ke rumah saya hari ini dari Alor Setar. InsyaAllah petang ini mereka tiba 🙂

Mak saya pernah pesan, kalau jumpa sayur kai choy nanti, buatkan jeruk untuknya sebab dia suka sangat makan jeruk ini. Lama jugalah saya mencari-cari sayur kai choy, merata supermarket saya ronda, hehe..
Alhamdulillah minggu lepas saya jumpa di supermarket, Bangsar Village. Masa tu saya nampak cuma ada 3 saja sayur ini..apalagi saya pun belilah semuanya. 🙂

image

image

image

Mak saya suka kalau jeruk ini dimasukkan dalam masakan asam pedas. Tapi saya teringinlah pula nak makan masak lemak ikan masin jeruk kai choy, hehe…
.
.
.
.
.
Mesti utamakan keinginanan mak saya dulu… 😉

Jeruk Kai Choy & Jeruk Kobis Bunga

Jeruk Cili

Sebentar tadi saya rasa cili jeruk yang saya buat beberapa hari lepas, hmmm…dah pun jadi dan sedap. Sejak kebelakangan ini saya suka sangat makan jeruk 🙂 Makanan yang dijeruk kaya dengan enzim, begitu bermanfaat untuk kesihatan jika dimakan tanpa dimasak kerana ia menggalakkan pertumbuhan bakteria usus serta membantu penghadaman dan penyerapan nutrien pada tubuh badan. InsyaAllah.

Resipi untuk jeruk cili ini sama dengan resipi jeruk kai choy dan kobis bunga cuma kali ini saya guna gula molasses. Gula molasses mengandungi pelbagai mineral dan ia berkhasiat berbanding dengan gula biasa yang tidak ada nutrien kecuali simple carbohydrates. Saya juga guna cuka epal dan bukan cuka biasa kerana cuka epal mengandungi banyak mineral, vitamin, acid dan enzim yang boleh mempertingkatkan kesihatan badan. Kelebihan cuka epal boleh memecahkan pembentukan kolesterol dalam saluran darah, mengawal tekanan darah tinggi, gout dan meningkatkan metabolisme badan serta merawat masalah sembelit.

GULA MOLASSES
image

43 batang cili hijau
image

image

image

JERUK CILI
image

Cili jeruk penambah rasa..
Sedap dimakan bersama kue teow goreng, mee atau meehoon sup dan sebagainya. Rasanya pedas, sedikit manis dan sedikit masin serta masam membuka selera makan 🙂

Okay, selamat mencuba.

Resipi:
Jeruk kai choy dan kobis bunga.

Jeruk Kai Choy & Jeruk Kobis Bunga

Saya sebenarnya seorang yang tidak gemar pada makanan dan minuman yang masam tetapi sejak saya buat kimchi dan jeruk timun citarasa saya berubah. Saya kini suka makan jeruk, kalau boleh macam-macam jenis jeruk saya nak buat….

Jeruk timun
yang saya buat sebelum ini memang sedap dan rangup cuma agak masin, jadi saya perlu rendam seketika di dalam air untuk kurangkan rasa masin tersebut. Resipi jeruk timun itu saya ambil dari Blog Maangchi

Baru-baru ini saya ternampak satu resipi jeruk kobis bunga dari Blog Kitchen Flavour. Terdetik dihati nak mencuba.

Jom tengok hasilnya… 😉

image

image

image

Cepat betul masa berlalu, dah pun 5 hari usia jeruk kai choy saya ini… 🙂
image

image

image

image

Jeruk kobis bunga ini pun saya buat pada lima hari lepas.
image

Jeruk Kobis Bunga/Kai Choy

Bahan-bahan:
1) 3 liter air.
2) 5 ulas bawang putih dibelah dua
3) 1″ halia, dihiris.
4) 3 biji kobis bunga organik/2 pokok kai choy
5) 1 cawan gula, saya guna gula organik. InsyaAllah lain kali nak cuba pula dengan gula molasess.
6) 1 cawan cuka epal.
7) 5 1/2 cawan air sejuk.
8) 4 tsp garam. Saya masukkan 3 tablespoon garam. Walaupun resipi tersebut mencadangkan 4 teaspoon.Tapi jeruk ini sedap dan tidak masin. 🙂

 

* Boleh juga kalau tidak masukkan halia dan bawang putih.

Cara;
1) Masak 3 liter air hingga mendidih dan masukkan bawang putih dan halia. Celur kobis bunga selama 30~45 saat. Tutup api dan tapis. Kemudian rendam kobis bunga dengan air sejuk selama 15 minit dan toskan.
2) Masukkan 5 1/2 cawan air, cuka, gula dan garam ke dalam bekas kaca yang besar. Kacau sehingga gula dan garam larut dan kemudian tuangkan semuanya ke dalam balang. Selepas itu masukkan kobis bunga, bawang putih dan halia. Tutup balang dan simpan balang dalam peti sejuk. Jeruk kobis ini boleh dimakan selepas 24 jam dan ianya boleh tahan selama 6 bulan.

Untuk jeruk kai choy, saya ikut resipi yang sama.
Bagi peminat jeruk bolehlah cuba resipi ini. Memang sedap! Yang penting dan bagusnya tidak ada bahan pengawet yang boleh memudaratkan kesihatan badan kita. InsyaAllah.

p/s Sekiranya merancang membuat jeruk menggunakan sayur kobis cina/kobis panjang, sayur ini tidak boleh dicelur. Saya pernah cuba dan saya dapati jeruk sayur ini akan menjadi lembik dan tak sedap..

Selamat mencuba. 😀
Kitchen flavours; Cauliflower Pickles