Ketumbar Jawa

Pokok ketumbar jawa ini saya beli pada 3 bulan lepas. Tak sangka pula pokok ini hidup, sebabnya beberapa hari selepas saya pindahkan ia ke dalam pasu, pokok ini jadi kering, kekuningan dan macam dah tak nak hidup lagi, hehehe…
Alhamdulillah, sekarang nampaknya pokok ketumbar jawa saya ini, hidup dengan segar bugar sekali. 😉

Pokok ketumbar jawa boleh ditanam dengan biji atau keratan batang. Walaupun ia lebih dikenali sebagai herba masakan yang digunakan sebagai pengganti ketumbar, ketumbar jawa juga digunakan untuk tujuan perubatan. Namun begitu ia tidak sesuai digunakan sebagai ubat bagi wanita yang hamil atau yang ingin hamil.

Seluruh bahagian pokok ini digunakan untuk merangsang dan melawaskan haid, merangsang peluh, merawat demam panas, sakit perut, mengeluarkan angin dari perut dan usus dan menurun tekanan darah tinggi.

image

image

Daun muda ketumbar jawa berbau seperti daun ketumbar biasa dan ia boleh dibuat ulam atau pun di masukkan ke dalam masakan bagi menambah perisa…

Ruj:
Ong Hean Chooi
Rempah-ratus
Khasiat makanan & Ubatan

Masakan Ayam Herba

Antara menu berbuka hari ini:

AYAM HERBA.
image

Bahan-bahan:
1) 1/2 ekor ayam kampung dipotong kecil, digaul kunyit dan garam
2) 1 labu bawang besar dihiris nipis
3) Kicap & serbuk kasar lada hitam
4) Ulam: daun kesom, daun putat, daun gajus, daun selom, daun kaduk dan daun mengkudu. Terpulanglah nak letak banyak mana..banyak sedap… dihiris besar.
5) 1 kuntum bunga kantan dan 2 helai daun limau purut dihiris nipis

Cara:
1) Goreng ayam sehingga garing dan toskan
2) Tumis bawang dan goreng sehingga kekuningan dan masukkan ayam goreng
3) Besarkan api dan masukkan daun2 ulam, kicap dan lada hitam.
4) Bila masakan ini hampir kering, padamkan api.

Masakan ini memang sedap, begitu menyelerakan terutama bila makan dengan nasi panas!!

Ok, Selamat mencuba. 🙂