Tumis Lemak Putih Sayur Labu Air

Ini antara sayuran kegemaran saya, dan bagi saya bila masakan ini dimasukkan ikan masin kurau memang sedap sekali. 🙂
Malam ini nak kongsi resipi masakan tumis sayur labu air lemak putih. Masakan yang mudah disediakan..

Jom try!

 

1448542539941

Bahan-bahan:
1) 1 mangkuk besar daun labu air, batang keras dibuang
2) 2 ulas bawang putih diketuk dan dicincang
3) 4 Cili kering dihiris dan buang biji
4) 4″ Ikan masin kurau dihiris kiub kecil
5) 1 labu bawang besar dibelah 6
6) 1 1/2 cawan air
7) Serbuk kasar lada hitam
8) 1/2 kotak santan kara

Caranya:

1) Panaskan sedikit minyak dan goreng ikan masin sehingga hampir masak
2) Masukkan bawang putih dan masak hingga ikan masin dan bawang putih kekuningan.
3) Masuk cili kering dan goreng sekejap
4) Masuk air 1 1/2 cawan
5) Mendidih air masuk sayur & bawang besar
6) Akhir masukkan santan dan lada hitam. Santan mendidih sekejap, padam api.
7) Jika perlu baru masukkan garam

Xanthone

Bila tiba musim durian maka tiba jugalah musim manggis. Kalau durian dikenali sebagai “king of fruit”, manggis pula disebut sebagai “Queen of fruit”.
Kata orang, kalau lepas makan durian, bagus juga makan manggis, sebabnya durian panaskan badan dan manggis pula sejukkan badan, mmm…betul ke?

Buah manggis banyak manfaat terutama kulitnya. Jom baca, apa kelebihan buah manggis ini sehingga jusnya dijual dengan harga yang mahal di pasaran.

image

Terdapat dalam buah manggis sejenis fitonutrien yang kuat iaitu Xanthone. Xanthone dikenali sebagai antioksida yang mampu meneutralkan radikal bebas iaitu penyebab penyakit degeneratif seperti jantung, strok dan kanser. Xanthone boleh memberi kesan positif kepada fungsi badan menjadi lebih sihat. Ia bermanfaat menghalang proses degenerasi sekaligus merangsang regenerasi sel rosak sehingga menjadikan awet muda. Kulit buah manggis mengandungi xanthone 27 kali lebih banyak daripada isi buahnya. Kandungan antioksida dalam kulit manggis 66.7 kali lobak dan 8.3 kali limau.

Dikatakan buah manggis boleh digunakan untuk mengubati buasir, keputihan, tonsil, cirit birit, batuk dan sakit gigi manakala kulitnya pula baik untuk memelihara kesihatan kulit, merawat sembelit, disentri, sakit mulut dan kejang.

Ramuan untuk disentri:
Kulit 2 biji buah manggis dicuci bersih dan dipotong kecil. Kemudian rebus dengan 5 gelas air sehingga baki 2 gelas. Tapis dan sejukkan. Minum 3/4 gelas dua kali sehari. Boleh tambah madu jika suka.

Rujukan:
Ensiklopedia
Herba Nusantara Berkhasiat,
Bukti Ilmiah & Cara Penyediaan.

Sukun Goreng

Semalam saya beli 2 biji buah sukun. Ada orang beri petua pada saya, bila nak beli buah sukun, pilih kulit yang licin dan kotor-kotor penuh dengan getah sukun. Saya akan ikut petua ini setiap kali saya beli buah sukun dan ternyata tidak menghampakan, alhamdulillah. Kalau nak buat sukun goreng, kena pastikan buah yang mekal dan keras, baru sedap dan goreng pun tak serap minyak.
Dulu kalau saya goreng sukun saya celup dalam bancuhan tepung beras tapi sekarang tidak lagi. Bagi saya, goreng tanpa bancuhan tepung lagilah sedap. Saya cuma gaulkan hirisan buah sukun dengan kunyit dan garam saja..

Pagi tadi goreng buah sukun, makan panas-panas memang sedap! 🙂

image