Diari Umrah Part 4: Makkah Mukarramah

Pada pagi Jumaat saya dan Zafirah berdiri diluar makam Rasulullah untuk melakukan ziarah wada’ (ziarah selamat tinggal).
Selepas solat Jumaat kami bersiap untuk bertolak ke Makkah. Perjalanan mengambil masa lebih 6 jam. Jarak dari Madinah ke Makkah adalah 339 km. Macam dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru. Biasanya jarak begitu mengambil masa selama 3~3 1/2 jam. Tapi bila dah naik bas, berhenti sebanyak 3 kali, ramai jemaah pula tu- kira ok lah 6 jam sampai ke Makkah, hehe..

Kami sampai di Bir Ali, miqat bagi jemaah haji/umrah yang datang dari Madinah. Setelah selesai solat sunat ihram dan berniat ihram, kami teruskan perjalanan dan singgah di Wadi Qudaid untuk makan malam. Sedap pulak nasi arab malam tu! 🙂

Pemandangan Masjidil Haram
image

image

image
Dari Jabir r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Satu sembahyang di masjidku lebih afdal daripada seribu sembahyang di masjid-masjid yang lain, kecuali Masjidil Haram (Mekah): dan satu sembahyang di Masjidil Haram pula lebih afdal daripada seratus ribu sembahyang di masjid-masjid lain.”

Dalam Masjidil Haram sebelum tiba waktu solat di aras 2, pintu masuk 84
image

image

Di perkarangan Masjidil Haram selepas solat Isyak
image

image

Makkah Hilton Towers
image

Kami tiba di Makkkah sekitar jam 10 malam. Check in di Makkah Hilton Towers. Hotel ini memang dekat dengan Masjidil Haram. Malam tu juga kami melakukan umrah dan selesai pada jam 2 pagi. Alhamdulillah…

Diari Umrah Part 3: Masjid Quba, Kebun Tamar & Bukit Uhud

Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa telah bersuci (berwudhu) di rumahnya kemudian pergi ke masjid Quba’ lalu solat di dalamnya 2 rakaat, maka baginya sama dengan pahala umrah.”
(Sunan Ibn Majah, no.1412)

image

image

Pada pagi 5 Mac, selepas sarapan, kami berkumpul beramai-ramai dan menaiki bas menuju ke Masjid Quba’ yang terletak kira-kira 3.2 kilometer daripada Masjid Nabawi. Masjid Quba’ merupakan masjid pertama didirikan oleh Nabi s.a w. bersama sahabat baginda, dibangunkan di atas dasar taqwa, seperti disebutkan di dalam al Quran.
Firman Allah yang bermaksud:
Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa, sejak hari pertama adalah lebih patut kamu sembahyang di dalamnya. Di dalamnya ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan Allah menyukai orang-orang yang bersih
(surah at-taubah: ayat 108)

Semasa hayatnya, baginda s.a.w. sering mengunjungi dan menunaikan solat sunat di masjid Quba’.
Ketika kami tiba di sana, ramai sungguh jemaah. Saya dan anak terus ke ruang solat. Walaupun keadaan begitu sesak, alhamdulillah, saya rasa semua jemaah dapat menunaikan solat sunat di situ. Apabila semua ahli kumpulan kami selesai solat, kami pun beredar dan terus ke kebun tamar.
Seperti biasa, kalau dah singgah di kebun tamar, pasti dibeli juga kurma di situ.
Dari kebun tamar kami ke Jabal Uhud

Bukit Uhud terletak di utara Madinah antara sempadan tanah Haram.

Seerah perang Uhud:
Kemenangan kaum muslimin dalam perang Badar membuat kaum musyrikin sepakat mengadakan serangan balas. Pertempuran 1000 tentera Islam diketuai oleh Nabi s a.w menuju ke Uhud tetapi hanya 700 orang saja yang setia bersama Nabi s.a.w sampai ke Uhud. 300 orang berpatah balik setelah dihasut oleh ketua munafik iaitu Abdullah bin Ubai. Manakala tentera kafir quraisy seramai 3000 orang diketuai oleh Abu Sufyan ibni Harb.
Nabi s.a.w menyusun strateginya dan diantaranya menempatkan 50 orang pemanah di atas bukit Uhud dan mereka tidak benarkan meninggalkan tempat masing-masing kecuali dengan arahan baginda s a.w.
Pada awal pertempuran tentera muslim berjaya menggoyahkan tentera musyrik. Pasukan pemanah lalu turun dari bukit untuk merebut-rebut harta rampasan perang apabila melihat tentera musyrik lari. Mereka melanggar larangan Nabi s.a.w supaya tidak meninggalkan tempat masing-masing. Hanya 14 pemanah yang kekal di atas bukit Uhud.
Apabila melihat tentera islam turun dari bukit Uhud, ketua tentera quraisy yang diketuai Khalid ibni Walid bertindak balas menyebabkan tentera islam kucar-kacir dan akhirnya mengalami kekalahan. Kira-kira 70 tentera islam terbunuh dan diantaranya ialah bapa saudara Nabi s.a.w., Saidina Hamzah bin Abdul Mutallib yang dibunuh oleh seorang hamba yang bernama Wahsyi.
Peristiwa ini memberi tamparan hebat pada orang islam serta pengajaran betapa penting taat kepada Allah dan Rasul s.a.w.
image

image

image
Ketika ini saya sedang beli habatussaudah yang dijual dengan harga 5 Riyal satu paket. Kalau di musim haji, ramai peniaga dan macam-macam benda ada disini termasuk pelbagai jenis herba dan rempah.

image
Kawasan jabal Uhud agak luas, kalau leka membeli belah, ada potensi tersesat tercari-cari bas. Ini pengalaman saya dan suami dimusim haji pada 2 tahun lepas, mencari-cari bas sehingga hampir ditinggalkan! hehe…

Diari Umrah Part 2: Maqam Rasulullah, Raudah & Perkuburan Baqi’

Di hening pagi ketika saya sedang merenung diluar jendela hotel, kelihatan jemaah mula bergerak ke Masjid Nabawi pada sekitar jam 3 pagi. Apabila azan pertama bergema pada pukul 4.30 pagi, ramai jemaah mula berpusu-pusu ke Masjid. Pada waktu ini ramai jemaah suka mengambil peluang melakukan ibadat tambahan, seperti mengerjakan solat tahajjud, solat witir, solat hajat, berzikir, berdoa, baca quran dan sebagainya. Maklumlah ganjaran ibadah disini 1000 kali ganda. Azan Subuh berkumandang pada pukul 5.30 pagi.
Selepas solat subuh, bagi kaum lelaki bolehlah terus ke maqam Rasulullah s.a.w. untuk mengucapkan salam kepada Baginda. Kaum wanita biasanya mengucap salam dari luar saja.

Sebagai rujukan, maqam Rasulullah s.a.w., Saidina Abu Bakar r.a. dan Saidina Umar al-Khattab r.a terletak dikawasan kubah hijau

image

Sedikit seerah yang ingin saya kongsi..
Menurut buku Pictorial History of Madinah Munawwarah, karya Dr.Muhammad Ilyas Abdul Ghani: Kamar Aisyah r.a adalah tempat dimana Nabi s.a.w dan kedua sahabatnya dikebumikan. Di kamar itu juga terdapat tempat (makam) keempat yang kelak akan digunakan untuk Nabi Isa alaihi salam.

Aisyah r.a, salah seorang isteri Nabi s.a.w. berkata: “Aku bermimpi melihat 3 bulan jatuh ke ribaku, maka kuceritakan mimpiku kepada Abu Bakar as-siddiq r.a. kemudian ketika Rasulullah s.a.w wafat dan di makamkan di rumahnya, Abu Bakar r.a berkata kepada Aisyah r.a: inilah salah satu bulan itu dan inilah yang terbaik.
Kemudian ketika Abu Bakar r.a. wafat, beliau dikuburkan di kamar Aisyah di samping Rasulullah s.a.w, sebagaimana telah diwasiatkannya sendiri. Dialah bulan yang kedua dalam mimpi Aisyah r.a
Ketika menjelang wafatnya, Umar ibn al-Khattab r.a berkata kepada anaknya, Abdullah r.a: Pergilah ke Ummul Mu’minin Aisyah r.a dan katakan, “Umar menyampaikan salam kepada mu dan mohonkanlah agar aku dapat dikuburkan bersama sahabatku”. Aisyah r.a pun menjawab: “Sebenarnya aku menginginkannya untuk diriku sendiri dan hari ini aku utamakan dirinya dari diriku.”
Ketika Abdullah kembali ia berkata: Aisyah r.a telah mengizinkannya untuk mu wahai Amirul Mu’minin. Kata Umar r.a: “Tidak ada sesuatu yang lebih penting bagiku daripada tempat itu.

Di dalam masjid, maqam Rasulullah s.a.w. dan sahabat Baginda dikawal rapi. Kawasan ini sentiasa sibuk kerana jemaah berhenti memberi salam.

image

RAUDAH:

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tempat yang ada di antara rumahku dan mimbarku adalah satu taman dari taman-taman syurga”.
Hadis sahih Bukhari dan Muslim.

Di antara maqam Rasulullah s.a.w dan mimbar, terdapat tempat dinamakan Raudah. Warna karpet kelabu kehijauan dan warna putih tiang membezakan Raudah dari tempat lain. Di Raudah sentiasa sesak dengan jemaah dan begitu sukar untuk mendapat tempat solat. Janganlah kita bertindak kasar terhadap jemaah lain untuk mendapat ruang solat di Raudah. Sabar dan perlahan-lahan mengikut arus, inshaaAllah kita akan boleh bersolat dan berdoa di situ. Kita digalakkan memperbanyakkan berdoa kepada Allah ketika berada di Raudah kerana diyakini tempat ini mustajab dan akan dimakbulkan oleh Allah s.w.t. Berdoalah dengan linangan air mata, merayu pada yang Maha Esa, mohon keampunanNya dan segala hajat sepuas-puasnya di Raudah kerana peluang seperti ini tidak mudah kita temui.

Bagi mereka yang pertama kali mahu ke Raudah mungkin perlu mengikut mutawif wanita/ustazah pergi secara berkumpulan. Tapi cara ini agak lama juga menunggu kerana terpaksa mengikut giliran. Kalau dah biasa ke Raudah bolehlah pergi sendiri atau bersama teman. InshaaAllah akan dapat masuk Raudah dengan lebih cepat kerana dapat masuk tanpa disedari pertugas.

Waktu untuk ke Raudah bagi jemaah wanita adalah terhad dan ditetapkan.

image

image

image

Gambar di atas bukanlah Raudah tapi jemaah sedang menunggu memasuki Raudah.

Selepas menziarahi makam Rasulullah s.a.w. dan solat di Raudah tibalah pula masa untuk menziarahi sebuah perkuburan yang dikenali sebagai al-Baqi’, iaitu perkuburan ahli-ahli Madinah sebelum zaman Rasulullah s.a.w sehingga sekarang. Sebahagian besar para sahabat Rasulullah s.a.w dikebumikan di sini. Kebanyakkan dari isteri-isteri Nabi diantaranya Ummul Mukminin, Aishah r.a, Hafsah r.a, Saodah Zumaah r.a dan Zainab Jahsy r.a dan putera puteri Rasulullah s.a.w juga disemadikan di sini. Ketika berada di al-Baqi’ bolehlah beri salam dan baca doa kepada penghuninya..
Perkuburan Baqi’ terletak bersebelahan Masjid Nabawi.
Hanya jemaah lelaki sahaja dibenarkan memasuki perkuburan Baqi.