Bamia

Salam sejahtera

Masakan Bamia sangat popular di kalangan orang Arab. Mereka sering masak bamia atau nama lain kacang bendi bersama daging atau kambing dan ada juga dengan ayam. Justeru itu mereka nama masakan ini Bamia.

Saya masih panggil masakan ini bamia walaupun saya tidak masukkan kacang bendi ke dalam masakan – hanya daging dan tomato (sebenarnya disebabkan tiada stok kacang bendi di rumah) 🙂
Saya juga hanya gunakan tomato mengikut citarasa dan tidak mengikut resipi bamia yang lazimnya menggunakan banyak tomato segar…

Anak-anak saya suka makan bamia dengan nasi tetapi suami saya gemar dengan roti dan saya pula dengan pulut atau lemang. Sedap 😀

Jom semak resipi

image

image

Bahan-bahan:

1) 350g daging lembut/ batang pinang dihiris besar dan nipis
2) 1 cawan air
3) 3 biji buah tomato sederhana besar dibelah dua
4) 1 sudu besar sos tomato/pes tomato
5) Sayur bendi (saya tak masukkan bendi)

Bahan tumis
1) 3 sudu besar minyak sapi dan 3 sudu besar minyak masak
1) 1 labu bawang besar dihiris nipis
2) Kulit kayu manis 2″, 4 bunga cengkih & 3 biji buah pelaga

Rempah serbuk
I) 1 1/2 sudu besar serbuk ketumbar
2) 1 sudu teh serbuk jintan manis
3) 1/2 sudu teh serbuk jintan putih
4) 1 sudu teh serbuk lada putih
5) 1/2 sudu teh serbuk kunyit

Bahan kisar

1) 15 tangkai cili kering (cili kering ini tidak pedas)/terpulang pada citarasa pedas. Dihiris dan buang biji. Rendam air panas sekejap.
2) 2 ulas bawang putih
3) 1″ halia
4) Sedikit air

Cara:

1) Gaul sebati bahan dikisar, rempah serbuk dan daging. Perap sekejap
2) Panaskan campuran minyak sapi dan minyak masak. Masukkan bahan tumis dan masak sehingga bawang kuning
3) Masukkan daging yang diperap dan masak sehingga naik bau
4) Masukkan air, gaul sehingga rata
5) Mendidih saja kecilkan api dan reneh
6) Bila kuah kelihatan hampir pekat, masukkan buah tomato, sos tomato/pes tomato dan garam secukup rasa
7) Akhir sekali masukkan sayur bendi (kalau ada) Bila bendi masak dan kuah dah sedikit pekat bolehlah padam api.

Selamat mencuba..

Kari Daging Pandan Tumbuk

Assalamualaikum..

Masak apa untuk berbuka hari ini? Kalau bercadang nak masak kari daging, bolehlah cuba resipi di bawah.

Sebenarnya, ini adalah kali pertama saya masak kari daging masukkan daun pandan dan daun kari yang ditumbuk separuh hancur. Biasanya bila saya masak kari daging, saya tidak pernah bubuh daun pandan atau pun daun kari.
Bagi saya masakan ini sedap, terutama apabila kari daging sudah masak, kita biarkan lama dalam periuk sebelum dihidang. Mungkin juga sebab kuah telah lebih sebati dengan rasa daun pandan dan daun kari..
Saya juga dapati, kalau dibiarkan semalaman kari daging ini, lagilah sedap.
Anyway, kari daging pandan tumbuk ini sedap juga dicicah makan dengan roti 🙂

Jom try!

image

Resipi: Ramitra, Sri Lanka
Thank you 🙂

Bahan-bahan:

1) 350g daging batang pinang dihiris nipis
2) 5~6 sudu besar serbuk kari daging. Saya guna jenama Adabi. Campur air, kacau menjadi pes
3) 2″ kulit kayu manis, 3 biji buah pelaga, 2 kuntum bunga lawang dan 3 bunga cengkih.
4) 5 ulas bawang merah dihiris nipis
5) 3 ulas bawang putih dicincang
6) 4 helai daun pandan ditumbuk separuh hancur ( tidak lumat)
7) 5 tangkai daun kari. Daun kari ditumbuk separuh hancur (tidak lumat)
8) 1/2 sudu teh biji lada hitam ditumbuk hancur
9) 2 batang serai dipotong dua, diketuk
10) 5 biji tomato ceri
11) 1/2 cawan santan segar pekat atau santan kotak
12) 2 cawan air
13) Air asam jawa dan garam secukup rasa

Cara:

1) Tumis bahan 3~5 sehingga bawang kuning
2) Masukkan rempah kari, daun pandan dan daun kari dan masak sehingga terbit minyak
3) Masukkan daging, serai dan lada hitam dan kacau sehingga rata.
4) Masukkan air dan masak sehingga mendidih. Kecilkan api dan reneh selama 15~20minit
5) Masukkan asam jawa, santan dan garam. Mendidih bolehlah padam api.
6) Kuah kari daging ini pekat. Kalau suka cair sedikit, boleh je tambah air

Enjoy! 😀

Acar Nenas

Assalamualaikum

Hari ini saya nak share resipi acar nenas yang saya buat pada tiga hari lepas.
Acar ini sesuai dimakan dengan pelbagai jenis nasi. Saya suka makan dengan nasi putih. Anyway, bagi saya sedap dimakan selepas dua tiga hari dimasak, sebabnya rasa nenas ketika ini telah pun sebati dengan rempah..

Kepada peminat-peminat acar, selamat mencuba 🙂

image

1) 1 biji nenas masak dipotong sebesar ibu jari/terpulang citarasa
2) 150g kismis
3) 10 biji bawang merah
4) 5 biji bawang putih
5) 1 sudu teh halba campur/ rempah campur
6) 1/2 cawan minyak
7) 1/2 cawan cuka epal
8) 1/4 cawan gula
9) 1/4 – 1/2 cawan air
10) 1 1/2 sudu teh garam/ secukup rasa

Bahan kisar:
1) 1 labu bawang besar
2) 15 tangkai cili kering dibuang biji/terpulang pada citarasa pedas
3) 2 ulas bawang putih
4) 1 sudu besar rempah kari ikan adabi
5) 1 sudu teh serbuk ikan bilis knorr/maggie

Cara:

1) Panaskan minyak dan tumis bahan kisar dan halba campur sehingga terbit minyak
2) Masukkan cuka, gula dan garam. Kecilkan api dan masak sehingga mendidih
3) Masukkan nenas, kismis, bawang putih dan bawang merah. Gaul sehingga rata
4) Masukkan air dan reneh sehingga pekat dan kacau
5) Untuk tahan lama, simpan acar dalam peti sejuk