Masak Lemak Kuning

Assalamualaikum.
Beberapa hari kebelakangan ini saya agak sibuk sedikit, almaklumlah anak perempuan saya baru menimang cahayamata. Kembar lelaki pula tu! Syukur Alhamdulillah 😀
Walaupun begitu, dalam kesibukan hari ini, saya berkesempatan luangkan masa untuk kongsi resipi. Sebenarnya masak lemak kuning ini, saya masak pada beberapa hari yang lepas.
Berbeza dengan kebiasaannya, kali ini, saya masukkan beberapa biji buah keras dan daun limau purut. Saya dapati 2 bahan ini mampu mempengaruhi rasa kuah. Sedap lauk lemak kuning ini lebih-lebih lagi bila digandingkan dengan sambal dan ulam. Makan nasi bertambah-tambah, hehe…

Selamat mencuba..
image

2 ekor ikan kembung dipotong dua setiap seekor
3/4 cawan air
1/2 cawan santan kotak jenama kara
5 biji cili padi
1/2 sudu teh serbuk kunyit
2 biji buah keras
2 batang (kecil) serai dipotong dua setiap batang
3 helai daun limau purut, urat dibuang dan daun dihiris nipis
Garam secukup rasa

Cara:
1) Tumbuk cili padi, serbuk kunyit dan buah keras sehingga lumat
2) Panaskan air, masukkan bahan tumbuk, ikan dan serai. Kacau rata dan didihkan sehingga ikan masak.
3) Masukkan santan, daun limau purut dan garam secukup rasa. Masak sehingga kuah mendidih.

Cendawan Eryngii & Rosemary

Malam ini saya ingin berkongsi resipi masakan cendawan…
Terdapat pelbagai jenis cendawan tetapi cendawan eryngii adalah yang paling saya suka dan yang selalu saya masak. Cendawan ini sedap dibuat masak lemak atau dibuat kerabu, namun yang lebih saya suka adalah jika digoreng.
Jadi untuk hidangan makan malam, saya goreng cendawan eryngii dan saya masukkan rosemary kering supaya memberi sedikit kelainan rasa pada masakan ini.

Selamat mencuba 😀
image

Bahan-bahan:
5 pokok cendawan eryngii dibelah dua dan hiris sederhana nipis
4 ulas bawang putih diketuk dan dicincang halus
1 1/2 biji buah tomato dihiris nipis
7 tangkai cili kering dihiris, buang biji (kalau suka pedas, masukkan sedikit cili padi)
1/2 sudu teh rosemary kering
1/4 sudu teh serbuk ikan bilis
1/2 sudu teh serbuk kasar lada hitam
1 sudu besar sos tiram
Garam

Cara:

1) Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih dan cili kering sehingga bawang kekuningan
2) Masukkan tomato dan goreng sekejap
3) Masukkan rosemary kering, serbuk ikan bilis dan lada hitam. Kacau sehingga tomato hancur
4) Masukkan sos tiram dan kacau rata.
5) Akhir sekali masuk cendawan eryngii dan garam secukup rasa. Kacau sehingga masak.

Udang Sos Tiram

Malam ni nak kongsi resipi yang simple-simple je tapi sedap 😀

Jom cuba!
image

Bahan-bahan:

12 ekor udang saiz sederhana, urat hitam dibuang
3 sudu besar minyak
3 sudu besar mentega
1 labu bawang besar dipotong bulat
5 ulas bawang putih diketuk dan dicincang halus
3 biji lada merah dibelah dua, buang biji dan dihiris
3 biji cili padi dihiris nipis
1 sudu teh serbuk ikan bilis
1 sudu besar penuh sos tiram
Garam

Cara:

1) Panaskan minyak dan masukkan mentega
2) Tumis bawang putih, bawang besar, cili merah dan cili padi. Goreng sehingga bawang putih kekuningan
3) Masukkan serbuk ikan bilis. Kacau sehingga rata
4) Besarkan api, masukkan sos tiram. Gaul rata
5) Akhir sekali masukkan udang dan garam secukup rasa. Kacau sehingga udang masak.