Daging Bumbu bumbu Kasih

Assalam dan selamat petang.
Apa khabar anda semua? Sekarang kita berada di penghujung tahun. Tak sampai sebulan kita akan menjengah tahun baru, InsyaAllah. Panjang umur usia kita meningkat lagi. Semoga Allah kurniakan pada kita dan keluarga kesihatan yang baik dalam menjalani kehidupan ini.

Kali akhir saya update blog kurang lebih 5 minggu yang lepas. Rasa lama sungguhlah terbiar blog kesayangan saya ni. Kadang tu mood memblog tu ada tapi masa tidak mengizinkan. Ada ketika tu bila masa tu ada, mood pulak tak ada. Begitulah putaran masa dan mood saya hehe..

Hari ini saya masak daging bumbu bumbu kasih untuk makan tengahari. Jom tengok resipi..

Bahan-bahan:

300g daging lembut dihiris nipis
1 biji tomato di potong kiub
2 pokok ketumbar dihiris
8 cili padi merah dihiris
Jus 2 biji limau kasturi
Garam secukup rasa
Minyak

Bahan kisar:

8 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
3 batang serai
1 kuntum bunga kantan
2 inci halia muda
1 cawan air

Cara:

1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga terbit minyak
2. Masuk jus limau kasturi dan daging. Kacau sehingga rata
3. Masukkan tomato, daun ketumbar dan cili padi. Masak sehingga hampir kering.
4. Akhir sekali garam secukup rasa

Advertisements

Rendang Daging Paru Jintan

Assalamualaikum

Satu lagi hidangan masakan rendang yang saya sediakan untuk perayaan Aidilfitri baru-baru ini ialah rendang daging paru jintan. 

Sebenarnya ini adalah kali pertama saya masak rendang masukkan banyak serbuk jintan manis. Alhamdulillah, rasanya tidak menghampakan, sedap 😀
Selamat mencuba

Bahan-bahan:
2.5 kilo daging batang pinang/lembut dipotong kiub saiz sederhana
1. 5 kilo paru direbus sehingga masak, bila sudah sejuk, dipotong kiub saiz sederhana
3 kotak kecil santan kara
2 (70g) paket kerisik
Gula kabung/merah secukup rasa
Garam secukup rasa
15 helai daun limau purut, urat daun dibuang dihiris halus

Bahan kisar:

18 batang serai
7 inci lengkuas
2 inci kunyit segar
4 sudu besar penuh serbuk jintan manis
80 tangkai cili kering, buang biji dan rendam dengan air panas selama 5 minit (cili kering ini jenis kurang pedas)
10 ulas bawang putih
50 ulas bawang merah
6 inci halia muda
3 cawan air

Cara:

1. Serai, lengkuas, kunyit segar dan air dikisar sehingga lumat.
2  Cili kering dan air dikisar jangan lumat.
3. Bawang putih, bawang merah, halia  dan air dikisar lumat
4. Masukkan bahan kisar, daging, paru, serbuk jintan manis dan santan ke dalam kuali. Kacau sehingga rata dan masak di atas api sederhana
5. Bila rendang hampir kering, masukkan kerisik, daun limau purut, gula dan garam.
6. Kecilkan api dan masak rendang daging paru sehingga kering. Kacau selalu.

Jeruk Daging

As salam semua.
Macammana first day berpuasa hari ini? Masak apa untuk berbuka?

Hari ini saya nak kongsi resipi jeruk daging yang saya buat pada 3 minggu yang lepas. Saya juga buat jeruk ikan tenggiri. Cara membuatnya sama je macam jeruk daging cuma gantikan daging dengan ikan.

Pada bulan puasa, terutama di waktu sahur, selalunya saya memang kurang ada selera makan. Tu yang saya buat jeruk daging dan ikan ni… sebagai pembuka selera 🙂

Selamat mencuba!

image

Bahan-bahan:

1.5 kilo daging (saya guna daging yang lembut)
4 biji jus lemon
1 biji lemon di hiris
Garam himalaya

Cara:

1. Daging dihiris nipis. Jika daging sukar dihiris, masukkan ketulan daging ke dalam peti sejuk. Biarkan daging beku sedikit kemudian barulah dihiris.
2. Letak beberapa hirisan lemon ke dalam bekas kedap udara
3. Lumur setiap pemukaan kepingan daging yang telah dihiris dengan garam dan letak ke atas hirisan lemon. Perah lemon ke atas daging dan kemudian susun lapis kedua dan perah lemon ke atas lapisan kedua. Buat begitu seterusnya sehingga habis. Tutup bekas. Biarkan di suhu bilik selama 8~12 jam untuk proses penapaian.
4. Akhir sekali letak hirisan lemon di atas hirisan daging. Tutup bekas dan simpan dalam peti sejuk.

Cara masak: Goreng seperti goreng daging biasa…