Masak Lemak Rosemary Ikan Tenggiri

Salam Jumaat..
Cepat betul rasanya masa berlalu, esok dah pun hari Sabtu! Hari Sabtu lepas macam baru saja berlalu, tup tup esok bertemu lagi…inshaaAllah
Hari ini saya nak kongsi resipi Masak Lemak Rosemary Ikan Tenggiri.
Kalau rasa tak ada idea nak masak apa untuk keluarga pada cuti hujung minggu, bolehlah cuba masakan ini.
Suami dan anak saya gemar resipi ini, kata mereka masakan ini sedap. Dapat pujian lagi! hehehe…
Walaubagaimanapun citarasa kita mungkin tak sama. Apa yang sedap bagi mereka mungkin tidak sedap bagi anda.Tetapi yang pasti, kalau tak cuba, tentu anda tidak akan tahu, sama ada masakan ini menepati citarasa anda atau pun tidak. Betul tak? 😀

Jom lihat resipi!
image

Bahan-bahan:

3 keping ikan tenggiri
1 sudu teh rosemary kering
1 cawan air
Minyak
1 kotak kecil santan (saya guna jenama kara)
Garam

Bahan: Kisar tanpa air (sehingga hancur tetapi tidak lumat)

6 cili merah, buang biji
8 cili padi (terpulang pada citarasa pedas)
6 bawang merah
2 bawang putih
2/3 sudu teh serbuk kunyit

Cara:

1) Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga terbit minyak dan cili kelihatan sedikit gelap.
2) Masukkan air dan masak sehingga mendidih.
3) Masukkan ikan dan rosemary, kecilkan api dan didihkan kuah sehingga ikan masak
4) Masukkan santan dan garam secukup rasa. Kacau sehingga rata.
5) Bila kuah mendidih, padamkan api

Ikan Senangin Masak Lemak Putih Lada Hitam

Tadi saya sajikan masak lemak ikan senangin untuk makan malam bersama keluarga. 😀
Masakan ini mudah dan tidak cerewet. Ada ketika bila saya sibuk dan nak cepat, masak lemak putih inilah antara menu yang saya suka buat. Bahan yang diperlukan tak banyak tapi hasilnya sedap, lebih-lebih lagi jika turut dihidangkan dengan sambal..
image

Bahan-bahan:

1 ekor ikan senangin (besar)buang sisik dan bersihkan. Potong 5 keping
1 1/2 cawan air
1 labu bawang besar dihiris kasar
3 ulas bawang putih dibelah dua
8 biji cili padi (terpulang pada citarasa pedas) dihiris
1 1/2 sudu teh serbuk kasar lada hitam
1 kotak kecil santan jenama kara
Garam secukup rasa.

Cara:
1) Didihkan air dan masukkan ikan, bawang, cili dan lada hitam. Rebus ikan sehingga masak di atas api yang sederhana
2) Masukkan santan dan garam. Kacau sehingga rata. Saya suka kuah masak lemak yang pekat tetapi jika anda suka kuahnya sedikit cair, bolehlah tambah air.
3) Santan mendidih segera padam api supaya santan tidak pecah minyak.

Jenahak Lengkuas Muda

Untuk makan malam tadi, saya goreng ikan jenahak dengan lengkuas muda. Bagi saya lengkuas muda bila digoreng sedap juga dimakan bersama nasi. Cubalah! Mana tahu masakan ini menepati citarasa anda! 😀

image

Bahan-bahan:

2 keping ikan jenahak
Serbuk kunyit
2 labu bawang besar di hiris nipis
3 ulas bawang putih diketuk dan dicincang
Cili padi (terpulang pada citarasa)di tumbuk
4 inci lengkuas muda dihiris panjang dan kasar
3 batang serai dipotong tiga setiap satu
6 helai daun limau purut di buang urat
Sedikit serbuk kasar lada hitam
1 sudu besar mentega
Garam
Minyak

Cara:

1) Ikan jenahak dilumur garam dan kunyit.
Goreng ikan sehingga garing dan toskan
2) Panaskan minyak. Goreng bawang besar, bawang putih dan cili padi sehingga bawang putih kuning
3) Masukkan lengkuas, daun limau purut dan serai. Masak sehingga terbit bau dan tuang ke dalam tapis dan toskan
4) Panaskan kuali tanpa minyak dan masukkan bahan yg telah digoreng, lada hitam, garam dan mentega. Gaul rata.
5) Masukkan ikan dan kacau sehingga rata dan goreng sekejap