Kerabu Jantung Pisang Goreng

Salam semua.
Kerabu jantung pisang ini saya buat beberapa hari yang lepas, cuma hari ini baru saya berkesempatan kongsi resipinya.
Cara membuat mudah saja tapi mengambil masa agak lama juga kerana perlu goreng keringkan jantung pisang itu dulu. Bagi saya kerabu jantung pisang goreng ini sedap tapi tak tahu lah sama ada anda akan suka ke tidak…
Selamat mencuba. 🙂

image

Bahan-bahan:

2 biji jantung pisang, saiz sederhana
100g daging, dihiris nipis dan kecil
4 ulas bawang putih dicincang halus
4 tangkai cili kering dihiris dan buang biji
Serbuk kasar lada hitam
1 biji tomato dibelah dua dan hiris nipis
1 labu bawang besar dibelah dua dan hiris nipis
Cili padi dihiris nipis
1 sudu besar jus lemon
1 sudu besar minyak bijan
Minyak untuk tumis

Cara:

1. Rebus jantung pisang yang telah dibuang kulit keras dan dibelah dua sehingga masak dan lembut. Toskan. Bila sejuk perah jantung pisang untuk buang baki air rebusan. Jantung pisang dihiris nipis dan leraikan
2. Panaskan minyak dan tumis bawang putih sehingga hampir garing. Kemudian masukkan daging dan cili kering. Kacau sehingga daging masak
3. Masukkan jantung pisang, lada hitam dan garam. Goreng sehingga kering. Kemudian biarkan sejuk
4. Satukan bawang besar, tomato, cili padi, minyak bijan, jus lemon dan sedikit garam. Ramas sehingga sebati. Masukkan jantung pisang goreng dan gaul sehingga rata. Biarkan 30 minit sebelum hidang.. sekali sekala kacau supaya rasa kerabu jantung lebih sebati

Kerabu Nangka Muda

Salam semua.

Agak lama juga saya tak masak nangka. Biasanya, bila saya beli nangka muda, saya suka buat masak lemak. Kadang-kadang tu bila mood memasak kurang rajin melanda, saya rebus saja, makan dengan sambal, sedap juga gitu hehe..
Tapi hari ini saya nak kongsi resipi kerabu nangka muda.
Bagi mereka yang gemar makan kerabu, jom try resipi ni! 😀

image

Bahan-bahan:

5 ketul nangka muda (anggaran saiz 1.5 inci setiap satu)
1 biji tomato dibelah dua dan hiris nipis
1 labu bawang besar dibelah dua dan hiris nipis
Cili padi dihiris nipis
1 kuntum bunga kantan dihiris nipis dan cincang halus
2 sudu teh cuka beras perang
Jus lemon
Serbuk kasar lada hitam
1 sudu teh serbuk ikan bilis
Garam

Cara:

1) Rebus nangka muda sehingga masak. Toskan. Sejuk hiris sederhana nipis
2) Satukan cuka, cili padi, garam, jus lemon, bunga kantan, bawang dan lada hitam. Ramas sehingga sebati. Kemudian masukkan nangka dan tomato, gaul rata.
3) Biarkan selama 30 minit sebelum dihidang
4) Sekali sekala gaul kerabu nangka, supaya rasa lebih sebati

Kerabu Jantung Pisang

Assalamualaikum & Selamat Pagi.

Antara hidangan iftar yang saya sajikan semalam buat keluarga tercinta adalah kerabu jantung pisang. Sedap makan bersama nasi putih panas-panas terutama bila digandingkan dengan sambal belacan atau sambal kelapa dan ikan goreng pasti ummph! 😀

image

Bahan-bahan:

1 jantung pisang. Lapisan kulit keras dibuang. Belah dua dan rebus sehingga lembut.
7 ekor sotong saiz kecil dicelur dan kemudian dihiris
1 kuntum bunga kantan dihiris nipis dan dicincang
1 biji buah tomato dibelah dua. Biji dibuang. Dihiris nipis
1 labu bawang besar dihiris nipis
8 biji cili padi
1/2 sudu teh serbuk kasar lada hitam
Jus 1/2 biji lemon (terpulang pada citarasa masam)
3 helai daun muda limau purut ( terlupalah pula nak masukkan, hehe..)
Garam secukup rasa

Cara:

1) Masukkan jus lemon, cili padi dan garam ke dalam mangkuk kecil. Kacau sehingga garam larut
2) Jantung pisang dihiris memanjang dan kemudian perah buang airnya. Masukkan ke dalam mangkuk.
3) Masukkan bunga kantan, sotong, bawang, tomato, serbuk kasar lada hitam dan campuran jus lemon ke dalam mangkuk jantung pisang. Gaul sehingga rata dan biarkan 30 minit
4) Pastikan gaul selalu sebelum dihidang supaya rasa lebih sebati.