Khasiat Selada Air/Watercress

Pokok herba selada air atau lebih dikenali sebagai watercress boleh ditanam secara benih atau keratan batang. Ia mudah dan cepat tumbuh. Oleh kerana ia bersifat diuretik, sup selada air diminum sebagai tonik untuk melawaskan buang air kecil dan air besar.

Menurut:

1) Heinerman’s Encyclopedia of Healing Herbs & Spices:

Sup selada air adalah satu remedi yang paling popular dikalangan masyarakat cina di Hong Kong dan Canton untuk merawat ulser dilidah dan bibir, lepuh (blister) dalam mulut, bengkak gusi, kerosakan gigi, nafas berbau, melegakan sakit kepala, penyakit kulit dan ‘hot flashes’.

2) Bartram’s Encyclopedia of Herbal Medicine:

Masyarakat Parsi purba memberikan selada air kepada anak-anak mereka untuk pembangunan fizikal badan. Selada air juga digunakan untuk penyakit pundi kencing dan buah pinggang, batu karang buah pinggang, sakit sendi kronik, gangguan metabolik, letusan kulit (skin eruptions) dan anaemia.

Penyediaan:
Jus segar: 1-2 tsp, tiga kali setiap hari.
Selada air mengandungi 4 kali lebih vitamin C dari salad (lettuce) dan kalsium lebih daripada susu (whole milk). Ia merupakan salah satu sumber terkaya Vitamin A dan serat.

image
Selada air boleh juga digoreng akan tetapi daun & batangnya yang tua tidak sedap dimakan kerana mengandungi banyak sabut.

SALAD SELADA AIR & PARSNIP

Pagi tadi saya buat salad selada air dengan parsnip. Saya pernah menulis tentang khasiat parsnip dalam post yang terdahulu.Khasiat Parsnip
image

image

Bahan-bahan:
1) Segenggam selada air, ambil daun dan batang yang lembut saja
2) 1 batang parsnip di parut/ dimayang
3) 2″ halia muda dimayang
4) 1/2 labu bawang besar dihiris nipis
5) Sedikit cili padi dihiris nipis
6) Jus lemon
7) 1 tbsp minyak zaitun & 1tsp madu
8) Garam secukup rasa.

Caranya:
1) Bahan 1 ~ 5 dicampur dan gaul rata.
2) Kemudian masukkan bahan 6 ~ 8 ke dalam mangkuk kecil dan kacau hingga sebati dan tuang ke dalam mangkuk selada air. Gaul sehingga rata.

Selamat menjamu selera. 🙂

Ref:
1) Bartram’s Encyclopedia of Herbal Medicine.
2) Heinerman’s Encyclopedia of Healing Herbs & Spices

Khasiat Akar & Daun Kaduk

Kadang-kadang bila terpandang pada daun kaduk, ia seakan juga dengan daun sirih, cuma daun kaduk ini warnanya lebih hijau tua dan berkilat. Pokok kaduk mudah ditanam dengan menggunakan keratan ranting atau taburan biji benih dan ia cepat membiak dan hidup subur dikawasan yang lembap.

Selain pucuknya yang sering dibuat ulam, daun kaduk juga dimakan sebagai pembuka selera apabila direbus atau dicelur dan dicicah dengan sambal belacan. Ia juga banyak digunakan sebagai perisa dalam masakan melayu.

Daun kaduk mempunyai kadar antioksidan yang tinggi.
image

Khasiat akar & daun kaduk dapat merawat:
1) Air rebusannya diminum untuk tujuan merawat masalah penghadaman, melegakan sakit tulang, lenguh dan bisa badan, melegakan masalah angin dalam perut dan usus serta menurunkan suhu demam panas.
2) Daun kaduk yang ditumbuk lumat, ditampal dan digunakan untuk melegakan sakit kepala, sakit tulang atau dipupukkan pada bahagian yang dijangkiti panau.
3) Manakala akar kaduk boleh merawat sakit gigi & gusi. Tumbuk lumat dan tampal pada tempat yang sakit.
4) Air rebusan akar kaduk boleh digunakan untuk merendam kaki yang dijangkiti kulat.

Teringat masa muda dahulu ketika dalam pantang bersalin… mak saya akan panaskan tungku dan dimasukkannya ke dalam kain yang berlapikkan berbagai jenis daun herba termasuklah daun kaduk. Ia dituam dibahagian tertentu bertujuan untuk mengecutkan rahim dan mengeluarkan angin serta memberi rasa kesegaran pada tubuh badan. 🙂

Sumber: Rempah-ratus
Ong Hean Chooi

Dehidrasi

Air adalah pilihan yang sihat bagi menghilangkan dahaga dan tubuh kita memerlukan air untuk berfungsi dengan betul dan untuk mengelakkan dehidrasi. Kita memerlukan air supaya darah boleh membawa nutrien keseluruh badan dan menyingkirkan toksin. Jadi berapa banyakkah kita perlu minum dan bagaimanakah untuk mengesan tanda-tanda dehidrasi? Sebenarnya jumlah yang perlu diminum bagi setiap individu untuk mengelakkan dihidrasi adalah berbeza, bergantung pada pelbagai faktor, termasuk saiz dan suhu badan serta seberapa aktif seseorang itu.

Apabila badan tidak mempunyai air yang mencukupi, kita dikatakan menghadapi dehidrasi dan salah satu tanda awal ialah rasa dahaga dan selain itu, air kencing berwarna gelap, tidak membuang air kecil dengan banyak. Dehidrasi juga boleh menyebabkan seseorang itu kekurangan tenaga dan sakit kepala.

Walaupun kita mungkin tidak memerlukan 8 gelas air sehari tetapi terdapat banyak sebab untuk minum air dengan mencukupi bagi menggantikan air yang kurang, yang sering berlaku secara berterusan daripada badan seperti buang air kecil, berpeluh dan lain-lain untuk kepentingan kesihatan.

Sebab-sebab perlu minum air yang mencukupi:
1) Minum air membantu penghadaman, penyerapan, penyelenggaraan suhu badan dan pengangkutan nutrien.
2) Air boleh bantu kawal kalori
3) Air membantu kembalikan tenaga otot. Disyorkan minum air sebelum bersenam bagi menggantikan cecair yang hilang disebabkan oleh kita berpeluh.
4) Buah pinggang memerlukan air yang mencukupi bagi melakukan kerja membersih dan menyahkan toksik dari badan.
5) Air membantu mengekalkan fungsi usus, membantu pencernaan dan mencegah sembelit.

Dehidrasi membuat kulit menjadi kering dan berkedut dan ini boleh dielakkan dengan penghidratan yang betul. Hmm… kalau begitu, nampaknya perlulah minum air yang mencukupi bagi kelihatan awet muda. 😀

Link:

Why drink more water