Asam Kuning Bawal Putih

Hari ini satu lagi resipi yang begitu mudah dan sihat. Mungkin ramai akan bertanya, sedapkah masakan ini, kerana bahannya terlalu sedikit? Saya rasa, anda perlu mencubanya baru tahu sama ada sedap ke tidak hehe..
Seperti juga ayam lemon yang sedap 😀 yang resipinya pernah sebelum ini saya kongsi di sini – bahannya cuma ayam, jus lemon dan cili padi – masakan kali ini bahannya adalah hanya ikan bawal putih, serbuk kunyit, asam gelugur dan cili padi.

Selamat mencuba .
image

Bahan-bahan:

2 ekor bawal putih saiz sederhana
2 1/2 cawan air
sedikit serbuk kunyit
5 keping asam gelugur (terpulang pada citarasa masam)
8 cili padi merah di ketuk (terpulang pada citarasa pedas)
5 cili padi hijau.

Cara:

1) Masak air sehingga mendidih dan masukkan asam gelugur dan semua cili padi. Kecilkan api dan masak selama 5 minit
2) Kemudian masukkan ikan dan garam secukup rasa. Reneh selama 10/15 minit.

Asam Pedas Simple

Dah lama kan saya tidak update blog? Sekarang ini saya sibuk sedikit.. walaupun boleh dikatakan hari-hari saya masak tapi kadang tu tak ada mood nak ambil gambar, tulis resipi atau bahan lain ke dalam blog ini..
Bila dah lama abaikan blog, alahai rasa macam dah sukar nak menulis semula, walaupun apa yang nak dituliskan itu ringkas saja hehe..

Alhamdulillah, hari ini saya dapat kongsi masakan kegemaran saya iaitu asam pedas ikan bawal. Hidangan ini mudah dan simple serta tidak memerlukan begitu banyak bahan untuk disediakan..

Selamat mencuba..

image

Bahan-bahan:
2 ekor bawal hitam saiz sederhana
25 tangkai cili kering-cili kering ini sederhana pedas
50g bawang merah
20g bawang putih
2cm halia
1/2 sudu teh biji lada hitam
1/3 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu teh kerisik
1 cawan air
1 1/2 cawan air asam jawa secukup masam
Minyak untuk menumis
Garam secukup rasa

Cara:

1) Kisar cili kering dengan 1 cawan air. Jangan kisar lumat
2) Tumbuk bawang merah, bawang putih, halia
dan lada hitam. Jangan lumat.
3) Panaskan minyak dan tumis bahan yang ditumbuk sehingga kekuningan.
4) Masukkan cili kering kisar, serbuk kunyit dan masak sehingga terbit minyak.
5) Masukkan air asam jawa. Apabila mendidih masukkan ikan bawal. Kacau perlahan dan reneh sehingga masak
6) Akhir sekali masukkan kerisik dan garam secukup rasa.

Aroma asam pedas ini menyelerakan. Masakan ini bertambah sedap bila digandingkan dengan ikan goreng, sambal dan ulam. 😀

Asam Pedas Ikan Jenahak & Daun Limau Purut

Assalamualaikum

Hari ini, saya ingin berkongsi sekali lagi masakan asam pedas. Dulu saya pernah share resipi asam pedas & daun limau purut, namun ada kelainan sedikit dalam masakan hari ini yang mana diantaranya tidak dimasukkan kerisik.

Ok jom kita lihat resipi..

image

Bahan-bahan:

1) 2 keping ikan jenahak
2) 2 sudu teh serbuk ketumbar
3) 1/2 sudu teh serbuk jintan manis
4) 1/2 sudu teh serbuk jintan putih
5) 1/2 sudu teh serbuk kunyit
6) 1 sudu besar serbuk ikan bilis
7) 1 1/2 cawan air & 1 sudu besar asam jawa, diramas dan tapis
8) 5 helai daun limau purut dibuang urat daun dan dihiris
9) Minyak untuk menumis

Bahan kisar:

1) 50g bawang besar
2) 20 tangkai cili kering, buang biji dan rendam air panas sekejap. Toskan
3) 4cm halia
4) 1 cawan air

Cara:

1) Satukan bahan kisar, serbuk ketumbar, jintan manis, jintan putih, serbuk kunyit dan serbuk ikan bilis. Kacau sebati
2) Panaskan minyak ke dalam kuali dan tumis campuran bahan kisar sehingga terbit minyak
3) Masukkan air asam jawa dan masak sehingga mendidih
4) Masukkan ikan jenahak dan setelah mendidih kecilkan api. Masukkan daun limau purut
5) Masak selama 10 minit.