Daging Kicap Cilantro

Assalamualaikum

Apa khabar semua..
Alhamdulillah hari ini dah genap 15 hari kita berpuasa. Saya rasa ramai kaum wanita ketika ini sudah mulai sibuk dengan persiapan untuk menyambut Aidil Fitri. Rasanya mesti ada yang dah mula buat biskut raya. Saya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini dah tak buat kuih raya. Saya cuma masak ketupat dan rendang, yang lain tu seperti kuih raya saya dan anak beli je 😀

Untuk berbuka hari ini, antara lain saya hidangkan masak kicap cilantro. Menu yang mudah-mudah aje… jadilah untuk santapan berbuka keluarga setelah seharian berpuasa..

image

Bahan-bahan:
350g daging (lembut) dihiris nipis
2 labu bawang besar dibelah dua dan dihiris
3 ulas besar bawang putih dihiris nipis
Cili padi dihiris
1 biji besar buah tomato dihiris kiub
1/2 mangkuk kecil daun ketumbar/cilantro yang dihiris
1 sudu teh serbuk kasar lada hitam
Kicap lemak masin
Garam
Minyak

Cara:

1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih, cili padi dan bawang besar sehingga sedikit garing
2. Masukkan tomato dan daging. Kacau rata
3. Masukkan kicap, kacau sehingga daging masak
4. Akhir sekali masukkan lada hitam, garam dan daun ketumbar. Kacau rata dan masak sehingga daun ketumbar layu.

Masak Lemak Kimchi

Assalamualaikum semua.
Udang masak lemak kimchi adalah salah satu masakan kegemaran kami sekeluarga. Setiap kali saya buat masak lemak kimchi ni, saya suka masukkan daun limau purut. Tapi kali ini, saya cuba pula dengan daun kunyit. Sedap! Saya tidak masukkan cili dalam masakan sebab kimchi kali ni sedikit pedas dari biasa. Saya juga masukkan lobak merah dan senkuang ke dalam kimchi untuk mempelbagaikan rasa…

Selamat mencuba.

image

image

Bahan-bahan:

2 cawan kimchi
7 ekor udang saiz besar
1 cawan air
2/3 sudu teh serbuk kunyit
2/3 cawan santan kotak
1 helai daun kunyit (saiz sederhana)
Garam

Cara:

1. Masukkan semua bahan ke dalam periuk kecuali santan. Kacau diatas api sehingga kuah mendidih dan udang masak
2. Masukkan santan. Kacau rata. Mendidih sekejap bolehlah padam api.

Resipi Kimchi : Sila klik di link.

https://kasihilmar.com/2012/12/16/kimchi-makanan-berkhasiat/

Tempe Goreng Sambal Dengan Ikan Bilis

As salam.

Untuk hidangan berbuka semalam, antara masakan yang saya sajikan ialah tempe goreng sambal dengan ikan bilis.
Saya buat agak banyak kerana permintaan anak yang suka tempe goreng sambal. Tak susah mana buatnya, mudah saja.

Tempe goreng sambal boleh tahan lama kalau dimasak sehingga kering. Sedap makan dengan nasi hangat dan kalau nak meratah pun sedap juga 😀

Jom cuba!

image

Bahan-bahan:

3 keping besar tempe dicuci & dipotong kiub kecil
1 mangkuk ikan bilis
3 labu bawang besar dipotong kiub kecil
50 tangkai cili kering dibuang biji & rendam air panas dan dikisar (cili kering ini kurang pedas)
2 keping asam gelugur
Garam
Gula
Minyak

Cara:
1. Panaskan minyak dan goreng tempe sehingga garing. Toskan
2. Kemudian masukkan ikan bilis dan goreng sehingga garing. Toskan
3. Panaskan minyak secukupnya dan goreng bawang besar sehingga hampir garing.
4. Masukkan cili kisar, gula, garam & asam gelugur. Kacau sehingga rata. Kecilkan api
5. Masak cili sehingga terbit minyak dan cili kelihatan gelap
6. Masukkan tempe dan ikan bilis. Kacau sehingga rata dan goreng sekejap di atas api supaya tempe dan ikan bilis kekal rangup