Udang Kurau Goreng

Salam semua..
Tengahari ini saya kongsi resipi yang mudah dan simple untuk rakan-rakan mencuba.

Masakan udang kurau goreng ini ringkas dan senang saja. Lauk macam ni memang laku di rumah saya 😀 Sedapnya bila dimakan bersama nasi putih.
Selamat mencuba…

image

Bahan-bahan:

20 ekor udang saiz sederhana. Buang kepala dan urat hitam. Gaul sedikit garam
2 inci ikan masin kurau dihiris nipis dan kecil
4 ulas bawang putih dihiris nipis
1 biji bawang besar dibelah dua dan hiris nipis
5 tangkai cili kering dihiris dan buang biji
Cili padi dihiris nipis
7 helai daun limau purut dihiris nipis
Minyak

Cara:

1. Panaskan minyak. Masukkan ikan masin kurau, bawang putih, bawang besar, cili padi, cili kering dan daun limau purut dan goreng sehingga bawang sedikit garing.
2. Masukkan udang, besarkan api. Kacau sehingga udang masak

Kerabu Jantung Pisang Goreng

Salam semua.
Kerabu jantung pisang ini saya buat beberapa hari yang lepas, cuma hari ini baru saya berkesempatan kongsi resipinya.
Cara membuat mudah saja tapi mengambil masa agak lama juga kerana perlu goreng keringkan jantung pisang itu dulu. Bagi saya kerabu jantung pisang goreng ini sedap tapi tak tahu lah sama ada anda akan suka ke tidak…
Selamat mencuba. 🙂

image

Bahan-bahan:

2 biji jantung pisang, saiz sederhana
100g daging, dihiris nipis dan kecil
4 ulas bawang putih dicincang halus
4 tangkai cili kering dihiris dan buang biji
Serbuk kasar lada hitam
1 biji tomato dibelah dua dan hiris nipis
1 labu bawang besar dibelah dua dan hiris nipis
Cili padi dihiris nipis
1 sudu besar jus lemon
1 sudu besar minyak bijan
Minyak untuk tumis

Cara:

1. Rebus jantung pisang yang telah dibuang kulit keras dan dibelah dua sehingga masak dan lembut. Toskan. Bila sejuk perah jantung pisang untuk buang baki air rebusan. Jantung pisang dihiris nipis dan leraikan
2. Panaskan minyak dan tumis bawang putih sehingga hampir garing. Kemudian masukkan daging dan cili kering. Kacau sehingga daging masak
3. Masukkan jantung pisang, lada hitam dan garam. Goreng sehingga kering. Kemudian biarkan sejuk
4. Satukan bawang besar, tomato, cili padi, minyak bijan, jus lemon dan sedikit garam. Ramas sehingga sebati. Masukkan jantung pisang goreng dan gaul sehingga rata. Biarkan 30 minit sebelum hidang.. sekali sekala kacau supaya rasa kerabu jantung lebih sebati

Kari Jantung Pisang

Salam..
Resipi hari ini adalah untuk mereka yang gemar makan jantung pisang. Selain direbus makan dengan sambal, jantung pisang sedap juga dibuat kerabu dan masak lemak. Tapi semalam saya buat masak kari. Keluarga saya suka, alhamdulillah lega sebab laku habis. Percubaan pertama masak kari jantung pisang berangan ni, berjaya! hehe..

image

Bahan-bahan:
3 biji jantung pisang berangan (jantung pisang ni kecil)
2 labu kecil bawang besar dibelah dua dan hiris nipis
5 biji buah keras ditumbuk lumat
3 ulas bawang putih dihiris nipis
3 sudu besar rempah kari ikan. Saya guna jenama adabi
1 sudu besar serbuk ikan bilis
1 cawan air
1/2 cawan minyak
Garam secukup rasa

Cara:

1. Rebus jantung pisang yang telah dibuang kulit keras dan dibelah dua sehingga masak dan lembut. Toskan
2. Buang sedikit bahagian tengah jantung pisang dan hiris jantung pisang 1/2 cm memanjang
3. Campurkan sedikit air ke dalam rempah kari, kacau sebati menjadi pes
4. Panaskan minyak dan tumis bawang besar dan bawang putih sehingga sedikit garing. Kemudian masukkan rempah kari. Masak sehingga terbit minyak dan rempah kelihatan sedikit gelap
5. Masukkan serbuk ikan bilis, buah keras dan 1 cawan air dan masak sehingga mendidih
6. Masukkan jantung pisang. Apabila sudah mendidih, kecilkan api dan reneh sehingga kuah kelihatan sedikit pekat
7. Akhir sekali masukkan garam secukup rasa.
8. Sebelum hidang, senduk buang lebihan minyak dalam kari jantung pisang