Ikan Siakap Masak Tempoyak

Assalam..
Agak lama juga saya tak pos resipi di sini. Hari ini saya kongsi resipi ikan siakap masak tempoyak yang saya buat untuk makan tengahari semalam.

Ada kelainan sedikit masakan kali ini. Selalunya saya akan masukkan daun kesum dan kadang-kadang tu masukkan juga bunga kantan. Tapi semalam saya cuma letak daun limau purut dalam masakan ini. Kuahnya saya buat pekat sedikit. Saya juga masukkan asam gelugur kerana tempoyak saya kurang masam. Sedap rupanya bila masukkan daun limau purut. Rasanya pun lain dari biasa. Makan dengan nasi panas dan ada pula sambal dan ulam, memang naik selera 😀

Bahan-bahan:

1 ekor ikan siakap, buang sisik dan potong 3
10 biji cili padi merah atau secukup pedas
2 ulas bawang putih.
Serbuk kunyit
2 batang serai diketuk
5 helai daun limau purut di hiris halus
2 keping kecil asam gelugur (kalau tempoyak dah cukup masam tak perlulah asam gelugur)
3 sudu besar penuh tempoyak
2 cawan air

Cara:

1. Tumbuk bawang putih, cili padi dan serbuk kunyit sehingga hancur
2. Didihkan 1 1/2 cawan air dan masukkan bahan tumbuk dan serai. 
3. Masukkan ikan, asam gelugur dan kacau rata. Kecilkan api dan reneh sehingga ikan masak
4. Masukkan 1/2 cawan air ke dalam tempoyak. Kacau rata 
5. Tuangkan tempoyak ke dalam periuk ikan
6. Masukkan daun limau purut dan garam secukup rasa. Masak sehingga mendidih.

Tenggiri Masak Taucu

Assalam.

Lama sungguhlah saya tak masak lauk tauchu ni. Berselera betul bila makan dengan nasi hangat. Pastu ada pula sambal cili garam dan ulam, memang akan makan nasi bertambah-bertambah. 😀

image

Bahan-bahan:

2 keping ikan tenggiri
2 sudu besar penuh taucu
2 ulas besar bawang putih diketuk dan di cincang
1/2 inci halia dicincang halus
Cili padi di ketuk
2 labu bawang besar di potong bulat
2 cili hijau dihiris serong
Air asam jawa
Air
Gula
Garam
Minyak

Cara:
1. Lumur sedikit garam pada ikan.
2. Goreng tenggiri sedikit garing. Angkat dan toskan
3. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih, halia dan cili padi sehingga bawang keperangan
4. Masukkan bawang besar dan cili hijau. Kacau sehingga bawang besar kekuningan.
5. Masukkan taucu. Masak sekejap
6. Masukkan air dan air asam jawa secukupnya dan gula secukup rasa. Masak sehingga mendidih
7. Masukkan ikan tenggiri.Masak sekejap di atas api

Rendang Daging Paru Jintan

Assalamualaikum

Satu lagi hidangan masakan rendang yang saya sediakan untuk perayaan Aidilfitri baru-baru ini ialah rendang daging paru jintan. 

Sebenarnya ini adalah kali pertama saya masak rendang masukkan banyak serbuk jintan manis. Alhamdulillah, rasanya tidak menghampakan, sedap 😀
Selamat mencuba

Bahan-bahan:
2.5 kilo daging batang pinang/lembut dipotong kiub saiz sederhana
1. 5 kilo paru direbus sehingga masak, bila sudah sejuk, dipotong kiub saiz sederhana
3 kotak kecil santan kara
2 (70g) paket kerisik
Gula kabung/merah secukup rasa
Garam secukup rasa
15 helai daun limau purut, urat daun dibuang dihiris halus

Bahan kisar:

18 batang serai
7 inci lengkuas
2 inci kunyit segar
4 sudu besar penuh serbuk jintan manis
80 tangkai cili kering, buang biji dan rendam dengan air panas selama 5 minit (cili kering ini jenis kurang pedas)
10 ulas bawang putih
50 ulas bawang merah
6 inci halia muda
3 cawan air

Cara:

1. Serai, lengkuas, kunyit segar dan air dikisar sehingga lumat.
2  Cili kering dan air dikisar jangan lumat.
3. Bawang putih, bawang merah, halia  dan air dikisar lumat
4. Masukkan bahan kisar, daging, paru, serbuk jintan manis dan santan ke dalam kuali. Kacau sehingga rata dan masak di atas api sederhana
5. Bila rendang hampir kering, masukkan kerisik, daun limau purut, gula dan garam.
6. Kecilkan api dan masak rendang daging paru sehingga kering. Kacau selalu.