Sayur Kai Choy & Cuka Beras Perang

Assalamualaikum..
Saya suka sangat makan dan buat jeruk sayur kai choy.
Entri kali ini saya khaskan kepada peminat jeruk sayur ini hehe..

Tiga minggu lepas saya beli 8 pokok sayur kai choy. Buat pertama kali saya cuba guna cuka beras perang menggantikan cuka epal. Saya tak sangka, hasilnya lagi sedap! bagi saya lah. 🙂
Bagi mereka yang pernah cuba resipi jeruk kai choy dengan cuka epal, apakata cuba pula guna cuka beras perang. Mungkin citarasa anda sama dengan saya.
Resipinya hampir sama yang sebelum, cuma saya olahkan sedikit, antaranya lebihkan cuka, kurangkan air dan saya tidak masukkan halia dan bawang putih ke dalam air rebusan untuk celur.

Jom tengok resipi..

image

Resipi ini untuk 4 pokok sayur kai choy. Sekiranya pokok yang besar, perlu lebihkan sukatan bahan.
Bahan-bahan:
1) 3 liter air.
2) 4 pokok sayur kai choy. Leraikan setiap daun besar, pilih daun yang terbaik. Saya guna hampir semua daun pokok sayur kai choy. Bahagian kelopak kecil jangan leraikan dan belah dua pokok sayur kai choy. Bersihkan setiap daun.
3) 1 cawan gula, saya guna gula organik.
4) 1 1/2 cawan cuka beras perang
7) 5 cawan air suhu bilik/air mineral
8) 3 sudu besar/ tablespoon garam himalaya

 

Cara:

1) Masak 3 liter air hingga mendidih. Celur sayur selama 30~45 saat. Kalau batang sayur besar, lebihkan sedikit masa celur.
2) Segera rendam sayur yang dicelur dengan air paip supaya suhu panas sayur yang dicelur turun mendadak. Rendam selama 15 minit dan toskan
3) Susun sayur kai choy ke dalam bekas/balang
4) Masukkan 5 cawan air, 1 1/2 cawan cuka beras perang, gula dan garam ke dalam bekas kaca yang besar. Kacau sehingga gula dan garam larut dan kemudian tuangkan semuanya ke dalam bekas/ balang sayur.
5) Simpan balang sayur dalam peti sejuk.
6) Saya dapati jeruk sayur kai choy sedap dimakan selepas 2 minggu
7) Jeruk kobis ini boleh dimakan selepas 24 jam dan ianya boleh tahan selama 6 bulan. InshaaAllah.

Sejak saya dah tahu buat jeruk sayur kai choy, kalau saya ternampak jeruk ini di supermarket, saya dah tak ada perasaan teringin nak beli hehe..

Selamat mencuba!

Nasi Tomato Segar & Daging Samak

Assalamualaikum..
Terasa macam dah lama saya tidak bersiaran. Beberapa hari kebelakangan ini saya agak sibuk dengan berbagai urusan…
Hari ini saya berkesempatan berkongsi resipi kesukaan saya iaitu nasi tomato segar & daging samak . Hidangan ini sedap dimakan bersama acar nenas.

Selamat mencuba 😀
image

NASI TOMATO SEGAR
image

Bahan-bahan:

1) 300g beras basmati, cuci dan toskan
2) 1 helai daun pandan disimpul
3) 2 biji buah tomato merah dihiris kiub
4) 4 sudu besar susu cair &
5) 1 1/2 sudu besar/tablespoon jus lemon
6) 4 sudu besar/tablespoon penuh minyak sapi
7) 1 sudu teh garam/ secukup rasa
8) Air secukupnya

Bahan tumbuk
1) 2 ulas bawang putih
2) 1 inci halia

Bahan tumis
1) 1/2 biji bawang besar dihiris nipis
2) 1 1/2 inci kulit kayu manis
3) 2 kuntum bunga lawang, 4 cengkih dan 3 biji buah pelaga

Cara:
1) Panaskan minyak sapi dalam kuali dan masukkan bahan tumis dan bahan tumbuk dan masak sehingga kekuningan dan terbit bau.
2) Masukkan tomato, susu, jus lemon, garam dan air secukupnya. Biarkan mendidih
3) Tuangkan (2) ke dalam rice cooker. Masukkan beras dan daun pandan. Kacau rata. Pastikan air secukupnya untuk masak nasi.
4) Apabila nasi telah kering, kacau perlahan-lahan sehingga rata

DAGING SAMAK
image

Bahan-bahan:

1) 350g daging batang pinang dihiris sederhana besar
2) 1 biji tomato dihiris kiub
3) 6 sudu besar/tablespoon minyak masak
4) Garam secukup rasa

Bahan Rempah Campur
1) 1 inci halia
2) 4 ulas bawang putih
3) 2 sudu besar serbuk kasar cili kering
4) 1 sudu teh serbuk ketumbar
5) 1 sudu teh jintan manis
6) 1/2 sudu teh serbuk lada putih
7) 2 sudu besar sos tomato
8) 2 sudu besar susu cair & 1 sudu besar jus lemon
9) 1 cawan air
Tumbuk lumat bawang putih dan halia dan satukan dengan bahan 3~9. Kacau sehingga rata.

Bahan tumis

1) 1 biji bawang besar dihiris nipis
2) 1 1/2 inci kulit kayu manis
3) 3 bunga cengkih dan 3 biji buah pelaga

Cara:

1) Panaskan minyak dan masukkan bahan tumis. Kemudian masukkan bahan rempah campur. Masak sehingga terbit minyak
2) Masukkan tomato dan daging, kacau sehingga rata. Masak sehingga kuah sedikit pekat. Akhir sekali masukkan garam secukup rasa

ACAR NENAS
image

Resipi: Acar Nenas
Sila klik dilink untuk resipi Acar Nenas

Jeruk Limau Kasturi

Assalamualaikum

image

Jeruk buah limau kasturi ini saya buat sebulan yang lalu.
Hari ini saya dapati kulit limau dah pun lembut, jadi bolehlah nanti saya masukkan ke dalam masakan atau cuci ambil kulitnya saja, hiris nipis-nipis dan gaul bersama cili tumbuk atau sambal belacan.

Berselera makan nasi bila dihidangkan sambal kulit limau dengan ikan goreng atau ikan bakar….

JERUK LIMAU KASTURI
Bahan-bahan:

1) 50 biji buah limau kasturi dicuci bersih dan toskan
2) 1 sudu besar garam himalaya di tabur ke dalam bekas/botol
3) Potong buang sedikit kulit dibahagian tangkai buah dan kemudian limau kasturi dibelah empat tetapi jangan putus
4) Biarkan biji
5) Sapu kulit limau dgn garam dan gosokkan garam dibahagian celah-celah limau kasturi
6) Susun limau kasturi ke dalam bekas/ botol yang telah ditabur garam dan tekan sehingga padat.
7) Sekali sekali balik2kan botol dan goncang.
8) Tekan buah limau kasturi hingga padat dan jus limau akan keluar meliputi kulit limau. Buat setiap hari. Simpan tempat gelap. Selepas 3 hari bolehlah simpan dalam peti sejuk
9) Jerukkan buah limau kasturi selama 1 bulan atau sehingga kulit limau menjadi lembut.
10) Simpan dalam peti sejuk, jeruk buah limau kasturi boleh tahan selama 6 bulan inshaaAllah

Selamat mencuba!