Masak Lemak Bawal Putih Cilantro

As Salam..
Sudah hampir dua minggu saya tidak update blog, disebabkan saya agak sibuk beberapa hari kebelakangan ini.
Malam ini saya kongsikan satu resipi masakan yang saya sediakan untuk dinner tadi, iaitu masak lemak ikan bawal putih cilantro. Resipi ini simple saja. Walaupun simple, masakannya enak. Saya tahu… sebab saya nampak suami dan anak-anak makan nasi begitu berselera sekali. 😀

Jom lihat resipi
image

Bahan-bahan:

4 ekor ikan bawal putih
Cili padi dan serbuk kunyit ditumbuk
Segenggam daun bawang yg dihiris
Segenggam cilantro/daun ketumbar yang dihiris
1 biji besar buah tomato dipotong dua dan dihiris nipis
1 1/2 cawan air
2/3 cawan santan kotak.
Garam secukup rasa

Cara:

1) Didih air dalam periuk dan masukkan cili padi dan serbuk kunyit yang telah ditumbuk. Kacau sehingga rata.
2) Masukkan ikan bawal dan rebus sehingga masak
3) Kemudian masukkan tomato, daun bawang dan daun ketumbar. Kacau perlahan-lahan. Biarkan mendidih seketika.
4) Masukkan santan dan akhir sekali garam secukup rasa.
5) Mendidih sekejap, padamkan api.

Lemak Putih Siakap Halba

Resipi hari ini adalah ikan siakap masak lemak putih. Seperti biasa, masakan ini mudah dan ringkas. Untuk memberi sedikit kelainan pada rasa, kali ini bahannya ditumbuk dan saya juga masukkan sedikit halba.

image

Bahan-bahan:.
1 ekor ikan siakap dipotong tiga
2 cawan air
2/3 cawan santan kotak (saya guna jenama kara)
1 sudu teh serbuk lada putih
Garam

Bahan tumbuk:

1 sudu teh halba
5 biji buah keras
8 biji cili padi (terpulang pada citarasa pedas)
2 ulas bawang putih
4 ulas bawang merah

Cara:

1) Masukkan air dan bahan yang telah ditumbuk ke dalam periuk. Masak sehingga mendidih
2) Masukkan ikan. Rebus sehingga ikan masak.
3) Masukkan santan, serbuk lada putih dan garam. Kacau rata dan masak sehingga mendidih.

Asam Rebus Ikan Kerisi

Salam semua…
Hari ni saya kongsi resipi masakan asam rebus ikan kerisi. Selalunya bila saya masak asam rebus, saya masukkan daun kesum dan kadang kala ada juga saya masukkan bunga kantan. Tapi untuk kali ini, saya nak memberi sedikit kelainan pada rasa masakan, saya masukkan daun limau purut. Saya suka dan sering guna daun limau purut dalam kebanyakkan resipi saya. Bagi saya daun ini mampu membuat masakan menjadi sedap selain dari memberi bau yang wangi.
Masakan asam rebus boleh menjadi pembuka selera. Ramai gemar menggandingkan masakan asam rebus ini dengan ikan goreng dan sambal. Kami pula suka makan dengan sambal garam atau cili kicap, ada juga suka makan dengan sambal belacan.
Resipi ini mudah. Tiada bahan yang perlu ditumbuk, cuma hiris dan campak- campak ke dalam periuk dan rebus!
Mudah kan? 🙂

image

Bahan-bahan:

2 ekor ikan kerisi. Dipotong dua setiap seekor
2 1/2 cawan air
Serbuk kunyit
4 ulas bawang putih dihiris
2 batang serai diketuk
6cm lengkuas dihiris
5 helai daun limau purut. Urat daun dibuang
15 cili padi dihiris. (Terpulang mengikut citarasa pedas)
8 keping (kecil) asam gelugor. (Terpulang mengikut citarasa masam)
1 1/2 sudu teh serbuk ikan bilis maggi
Garam secukup rasa

Cara:

1) Masukkan air, serbuk kunyit, serai, lengkuas, bawang putih, cili padi dan asam gelugor ke dalam periuk. Masak sehingga mendidih
2) Masukkan ikan kerisi, serbuk ikan bilis dan daun limau purut. Bila mendidih, kecilkan api
3) Reneh selama 15 minit dan akhir sekali masukkan garam secukup rasa